Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Di sebalik kehangatan dan sorakan sesuatu perlawanan sukan di kaca televisyen, terselindung liku dan cabaran besar yang harus dipikul oleh seorang pengulas sukan. Perkara ini dikupas secara mendalam menerusi program “Pesona Bahasa Pengulas Sukan” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh Encik Mohd Hafizi Ahmad selaku moderator dan menampilkan dua pengulas sukan tersohor tanah air, iaitu Encik Wan Khairil Azwa dari ASTRO dan Encik Mohd Firdaus Musa dari Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menelusuri titik permulaan kerjaya mereka, kedua-dua panelis berkongsi hakikat bahawa bidang pengulasan bukanlah cita-cita asal mereka.

Encik Wan Khairil Azwa mendedahkan bahawa impian utamanya adalah untuk bergelar pemain bola sepak profesional, namun kecederaan yang dialami telah mengubah haluan hidupnya.

Beliau yang pernah berkhidmat di Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menyifatkan kerjaya pengulasan ini hadir secara tidak sengaja tetapi akhirnya membuahkan minat yang mendalam.

Kerjaya Encik Mohd Firdaus Musa pula bermula sebagai jurutera dron dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama lapan tahun.

Gelagat Encik Mohd Hafizi Ahmad (tengah) dan Encik Wan Khairil Azwa ketika mendengar perkongsian yang mencuit hati oleh Encik Mohd Firdaus Musa.

“Pelibatan saya sebagai pengulas sukan secara sepenuh masa bermula dengan satu paksaan. Kawan-kawan telah mengurung saya di dalam bilik semata-mata untuk memaksa saya merakam suara bagi menyertai satu uji bakat pengulas sukan anjuran Media Prima,” kongsi beliau sambil disambut oleh gelak tawa para hadirin.

Bercakap mengenai proses adaptasi dan persediaan, tugas sebagai penyampai maklumat menuntut tahap dedikasi yang tinggi, terutamanya apabila ditugaskan untuk mengulas sukan yang berada di luar zon selesa mereka.

Encik Mohd Firdaus menegaskan bahawa persediaan teknikal sangat kritikal, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan sukan spesifik seperti gimnastik artistik, karate, mahupun snuker yang mempunyai terma dan aspek teknikal yang berbeza.

“Bagi suatu perlawanan, 50 peratus persediaan kami ialah mencari bahan dan menyemak fakta, manakala 50 peratus lagi ialah persediaan emosi. Kami perlu bersedia sebulan lebih awal, malah kadangkala kami harus merujuk pakar teknikal untuk benar-benar memahami selok-belok sesuatu acara itu agar ulasan kami kekal relevan dan tepat,” jelas Encik Wan Khairil Azwa pula yang membuktikan bahawa adaptasi ilmu merupakan nadi utama kelangsungan kerjaya seorang pengulas sukan.

Dalam konteks ketelitian bahasa, ahli panel turut menzahirkan penghargaan kepada DBP atas peranan teguhnya menyokong industri sukan melalui penerbitan glosari dan istilah teknikal sejak penganjuran Sukan Komanwel 1998.

Pengulas sukan kini memikul tanggungjawab yang besar untuk tidak sekadar menghiburkan, tetapi juga menjadi ejen penyampai bahasa yang betul, memastikan laras bahasa dan istilah yang dilontarkan mudah difahami oleh kelompok majoriti mahupun minoriti masyarakat.

Encik Wan Khairil Azwa mendeklamasikan sajak karya Baha Zain sebagai penutup program “Pesona Bahasa Pengulas Sukan”.

Program ini diakhiri dengan persembahan deklamasi sajak karya Baha Zain secara spontan oleh ahli panel atas permintaan moderator program.

Yang turut hadir mengikuti program ini Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan pegawai kanan di Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, Puan Huzna Sa’it.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi