Diterbitkan pada 16 Julai 2026, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

 Kuala Lumpur – Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 pada peringkat negeri Sabah bakal disambut secara besar-besaran menerusi Temasya Restu Jiwa Pahlawan anjuran DBP Cawangan Sabah bermula 22 Julai 2026 hingga 25 Julai 2026.

Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Dr. Zaidi Ismail berkata, temasya “Restu Jiwa Pahlawan” ini merupakan acara kesusasteraan dan kebahasaan untuk mendekatkan institusi DBP dengan masyarakat, di samping menjadi wadah untuk mempromosikan serta memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat negeri Sabah.

Ujar Dr. Zaidi,

Fokus utama kami adalah untuk meningkatkan citra DBP pada mata masyarakat supaya institusi ini dilihat lebih dekat dengan mereka, selain menjadi platform terbaik bagi mempromosikan produk serta perkhidmatan DBP kepada khalayak umum, katanya semasa ditemu bual menerusi program Cakna Bahasa terbitan Radio Bernama.

Menurut beliau, majlis perasmian temasya tersebut akan disempurnakan oleh Ketua Pengarah DBP, YBhg.Datuk Dr. Hazami Jahari pada 23 Julai 2026 bertempat di bangunan DBP Cawangan Sabah.

Temasya yang berlangsung selama empat hari ini menyasarkan pelibatan seluruh lapisan masyarakat merangkumi pelajar sekolah, kakitangan awam dan swasta serta orang awam, khususnya yang berada di sekitar Kota Kinabalu.

Antara pengisian utama program sepanjang temasya ini berlangsung termasuklah Syarahan Cendekia yang disampaikan oleh oleh Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin yang menyasarkan kehadiran sebanyak 200 hingga 300 peserta pada 22 Julai 2026 di Dewan Amir Jaya.

Pada hari yang sama, temasya ini turut menampilkan sesi Wacana Restu Jiwa Pahlawan bertemakan “Menyantuni Bahasa Menyuburkan Jiwa Bangsa” dengan menampilkan Sasterawan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Jasni Matlani bersama-sama mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah sebagai pembicara.

Selain itu, tumpuan beralih pada pelibatan generasi muda menerusi program Kembara Majalah Dalam Kelas yang melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pelbagai aktiviti menarik seperti Bijak Kata, Ayuh Baca Buku DBP, pemerolehan artikel untuk WadahDBP, Bitara Jawi, sesi temu mesra dengan beberapa ahli Lembaga Pengelola DBP, pameran khas, serta jualan buku.

Sementara itu, acara sukan, iaitu 7000 Langkah Pahlawan yang akan berlangsung di Teluk Likas pada 25 Julai 2026 bertujuan untuk memupuk budaya gaya hidup sihat dalam kalangan warga DBP serta masyarakat.

Malam kemuncak program pula menyaksikan Malam Gema Sastera (MAGESAS) yang akan dirasmikan oleh Yang Berhormat (YB) Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, YBhg. Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif di Lintas Deasoka, Pusat Bandaraya Kota Kinabalu.

Jelas beliau,

Bagi MAGESAS  yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini, kami memilih lokasi yang agak terbuka kerana kebetulan terdapat aktiviti pasar malam di sekitar kawasan tersebut. Kami ingin mengajak orang ramai untuk meluangkan masa pada malam minggu di pusat bandar untuk turut serta memeriahkan majlis berkenaan.

Jelasnya lagi, program tersebut bakal menampilkan kolaborasi dengan persatuan penulis tempatan dan tokoh masyarakat menerusi pelbagai aktiviti seni termasuklah deklamasi puisi, nyanyian lagu rakyat dan persembahan sketsa pendek yang berkonsepkan didik hibur.

Kredit Foto: Tangkap Layar Facebook DBP
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi