Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGambang– Pentas demokrasi kampus Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh) bertukar menjadi medan persaingan sengit apabila Pertandingan Pengucapan Awam Pemimpin Pelajar sempena Kempen Pilihan Raya Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) Sesi 2026/2027 berlangsung, semalam.

Pertandingan yang bertemakan “Suara Pemimpin, Inspirasi Generasi” ini mewajibkan kesemua calon JPP menggunakan bahasa Melayu standard sepenuhnya. Inisiatif murni tersebut bukan sahaja bertujuan untuk mencungkil bakat kepimpinan pelajar yang berkarisma, malah direka khusus bagi memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi intelektual bertaraf tinggi pada peringkat prauniversiti.
Bagi memaksimumkan pelibatan pelajar, kehangatan pembentangan manifesto ini digemakan secara serentak di tiga lokasi utama kolej, iaitu Dewan Mat Kilau (DMK), Dewan Dato’ Bahaman (DDB), dan Dewan Kuliah Besar 2 (DKB2) mengikut pecahan jurusan pengajian masing-masing. Langkah proaktif ini berjaya menarik kehadiran penuh mahasiswa yang teruja untuk menilai visi dan misi bakal wakil mereka.
Rata-rata calon yang bertanding berjaya menyulam kiasan dan peribahasa Melayu dengan bersahaja, namun bertenaga ketika membentangkan manifesto. Panel penilai turut memuji kesungguhan para pelajar yang mampu mengupas isu kebajikan dan akademik kampus secara matang tanpa meminggirkan keindahan aspek tatabahasa kebangsaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Hal Ehwal Pelajar Kolej Matrikulasi Pahang (KMPh), Tuan Haji Mohd Suhaimi bin Ismail berkata, penganjuran program seumpama ini jelas membuktikan bahawa bahasa Melayu kekal dinamik serta berwibawa sebagai medium rasmi pengucapan berprestij.
Tambah beliau, inisiatif bersepadu tersebut juga menjadi serampang dua mata untuk mendukung dasar Memartabatkan Bahasa Melayu (MBM), sekali gus melahirkan barisan kepimpinan muda yang bijak berwacana demi kesejahteraan warga kampus.