Diterbitkan pada 10 Julai 2026, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan menyeru warga kementerian untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam semua urusan rasmi perkhidmatan awam selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan negara.

Penegasan tersebut dibuat melalui satu surat edaran oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, YBhg. Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz yang mengarahkan semua kementerian dan jabatan meningkatkan langkah pemerkasaan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dan berterusan dalam setiap pelaksanaan tugas rasmi.

Menurut beliau, dasar tersebut adalah berlandaskan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32], selain turut diperincikan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM), Ceraian PO.1.1.1: Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Perkhidmatan Awam.

Beliau berkata, penekanan isu ini turut diberikan oleh Perdana Menteri semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negara Bilangan 1 Tahun 2026 pada 8 Julai lalu, yang mengarahkan supaya bahasa Melayu diutamakan secara mutlak dalam semua bentuk komunikasi rasmi kerajaan.

“Penggunaan bahasa Melayu perlu menjadi keutamaan dalam pembentangan, klip video rasmi, persembahan montaj, video korporat serta bahan komunikasi yang berkaitan dengan penyebaran dasar kerajaan,” ujar Perdana Menteri semasa mesyuarat tersebut.

Pada masa yang sama, hasil pengauditan bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan bahawa masih terdapat ruang penambahbaikan terhadap aspek penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan agensi kerajaan.

Beliau menjelaskan bahawa penyampaian maklumat menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul amat penting bagi memastikan mesej yang disampaikan dapat difahami serta diterima dengan baik oleh masyarakat.

Sehubungan dengan itu, semua kementerian dan jabatan disarankan untuk meningkatkan pelaksanaan program kesedaran dan pembudayaan bahasa Melayu, termasuk dalam penganjuran latihan, seminar dan mesyuarat rasmi.

Tambah beliau, pemantauan serta pengauditan berkala akan dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan terhadap arahan tersebut sentiasa berada pada tahap optimum.

Surat edaran berkenaan turut dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi memastikan pelaksanaan dasar ini secara menyeluruh di semua peringkat pentadbiran.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi