Diterbitkan pada 22 Jun 2026, 22:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuching  Bahasa Melayu perlu terus diperkukuh sebagai bahasa perpaduan dan bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara tanpa menghakiskan kedudukan bahasa warisan yang menjadi identiti masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), YBrs. Dr. Dilah Tuah selaku ahli panel dalam program Wacana Bahasa Jiwa Bangsa yang berlangsung pagi tadi berkata, dalam landskap sosiolinguistik Sarawak yang kaya dengan kepelbagaian bahasa dan budaya, bahasa Melayu berperanan sebagai lingua franca yang menghubungkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang etnik.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi, UNIMAS, YBrs. Dr. Dilah Tuah turut memaparkan slaid ketika menyampaikan perkongsiannya.

Menurut beliau, Sarawak bukan sahaja memiliki bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, malah mewarisi lebih daripada 35 bahasa etnik yang menjadi khazanah budaya negeri tersebut.

“Bahasa Melayu merupakan komponen bagi struktur pendidikan negara dan bukan sekadar satu mata pelajaran. Bahasa ini berfungsi sebagai ejen perpaduan yang menyatukan pelajar daripada pelbagai kaum dan latar belakang dalam satu sistem pendidikan,” katanya.

YBrs. Dr. Dilah menjelaskan bahawa kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, manakala Akta Pendidikan 1996 pula menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Beliau menegaskan bahawa pengukuhan bahasa Melayu tidak bermaksud menafikan atau menghakiskan bahasa etnik yang dituturkan oleh masyarakat Sarawak kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang berbeza.

“Apabila kita belajar bahasa Melayu, kita bukan menjadi orang Melayu. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan berfungsi untuk integrasi sosial dan pembinaan negara bangsa, manakala bahasa warisan pula berfungsi sebagai identiti budaya serta wahana kelestarian komuniti,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan bahawa beberapa bahasa etnik di Sarawak kini berhadapan dengan risiko kepupusan akibat jumlah penutur yang semakin berkurangan dan menggesa ibu bapa dan masyarakat untuk memainkan peranan untuk memastikan bahasa warisan terus diperturunkan kepada generasi muda.

Beliau turut menyentuh cabaran semasa yang dihadapi bahasa Melayu termasuklah pengaruh kandungan global, kerancuan bahasa dan perkembangan teknologi kecerdasan buatan yang mempengaruhi amalan literasi generasi muda.

Menurutnya, usaha memperkukuh bahasa Melayu memerlukan kerjasama pelbagai pihak di samping memanfaatkan teknologi sebagai medium pemerkasaan bahasa kebangsaan.

“Dalam konteks Sarawak yang bersifat multibahasa dan multibudaya, bahasa kebangsaan diharap kekal sebagai instrumen penting yang menghubungkan kepelbagaian, memperkukuh perpaduan dan mendukung pembangunan pendidikan negara,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa minat terhadap bahasa Melayu semakin berkembang pada peringkat antarabangsa apabila beberapa universiti di China, Jepun dan Belanda menawarkan program Pengajian Bahasa Melayu, sekali gus membuktikan bahawa bahasa tersebut tetap relevan sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi global.

Tetamu undangan yang menghadiri wacana termasuklah kakitangan awam dan pelajar sekolah.
Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi