Diterbitkan pada 12 Jun 2026, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) peringkat Wilayah Timur, satu wacana kebahasaan telah diadakan dengan tajuk “Wacana 152: Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Negara” yang berlangsung di Dewan Wawasan, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu.

Program wacana ini diadakan bagi meningkatkan pemahaman dan penghayatan masyarakat terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan, Encik Ivan Toh selaku pengendali program menyatakan bahawa sebarang kerjaya yang diceburi oleh seseorang, sebagai rakyat Malaysia mereka perlu memastikan ketepatan penggunaan bahasa serta menetapkan integriti tinggi dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Beliau menggariskan kerangka perbincangan berasaskan tiga fasa iaitu sedar, insaf dan hargai sebagai panduan kepada para penonton untuk memahami kedudukan bahasa Melayu kerana kesedaran perlu dipupuk terlebih dahulu sebelum masyarakat dapat menginsafi kepentingan bahasa seterusnya menghargainya sebagai identiti nasional.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Felo Kenegaraan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), YB Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman menjelaskan bahawa Perkara 152 bukanlah suatu dasar yang terbentuk secara satu pihak semata-mata, sebaliknya hasil konsensus antara kaum menjelang kemerdekaan.

Lantaran daripada latar sejarah, masyarakat majmuk di Malaysia terpisah mengikut sektor ekonomi dan penempatan, kesannya menimbulkan cabaran bagi mewujudkan perpaduan nasional.

“Keadaan tersebut mendorong keperluan terhadap satu asas penyatuan yang kukuh dan bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan bagi mengisi peranan tersebut,” ujar beliau.

Beliau menyatakan bahawa konflik antara kaum sebelum kemerdekaan dijadikan sebagai pengajaran penting untuk membentuk dasar negara kerana konsensus yang dicapai, termasuk pengiktirafan bahasa Melayu, dianggap sebagai langkah strategik bagi memastikan kestabilan dan keharmonian negara selepas mencapai kemerdekaan.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tanpa satu bahasa penyatuan, Malaysia berisiko berdepan dengan perpecahan sosial yang lebih ketara.

Ujar beliau,

Perkara 152 telah membuktikan keberkesanan bahasa Melayu sebagai alat komunikasi yang digunakan untuk memupuk persefahaman antara rakyat pelbagai kaum.

Beliau turut mengingatkan bahawa persepsi rendah terhadap bahasa Melayu sebagai tidak relevan dalam bidang sains dan teknologi perlu diperbetulkan kerana bahasa Melayu mempunyai sejarah sebagai bahasa perantaraan (lingua franca) dan berpotensi untuk terus berkembang sebagai bahasa ilmu.

Peserta yang hadir dalam program “Wacana 152: Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Negara.”

Sementara itu, Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Hajah Nor Hashimah Jalaluddin pula menegaskan bahawa isu bahasa tidak boleh dilihat secara terpisah daripada pembinaan negara.

Menurut beliau, linguistik sebagai ilmu bahasa memainkan peranan penting untuk memastikan bahasa Melayu mempunyai sistem yang tersusun dan standard.

Beliau menjelaskan bahawa setiap bahasa perlu mempunyai struktur yang jelas merangkumi aspek fonetik, fonologi, morfologi dan sintaksis bagi memastikan penggunaannya tidak menjadi kacau-bilau.

Peranan institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka amat penting bagi merancang dan menyeragamkan penggunaan bahasa.

Hal ini dibuktikan dalam penyelidikan beliau yang menunjukkan bahawa pelajar bukan Melayu mampu menguasai bahasa Melayu dengan baik melalui pembelajaran sistematik, sekali gus membuktikan bahawa bahasa ini mempunyai struktur yang kukuh dan boleh dipelajari oleh semua orang.

Menurut beliau, cabaran utama pada masa ini ialah kecenderungan masyarakat menggunakan bahasa rojak dan tidak standard yang boleh menjejaskan mutu bahasa serta identiti nasional.

“Fenomena ini semakin ketara dengan pengaruh media sosial yang tidak terkawal,” ujar beliau.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Hajah Nor Hashimah Jalaluddin ketika menyampaikan perkongsiannya.

Beliau turut menyentuh dasar pendidikan yang memberikan ruang luas terhadap penggunaan bahasa Inggeris, sekali gus memberikan kesan terhadap kedudukan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar.

Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa penguasaan bahasa asing adalah tidak salah, tetapi perkara ini tidak seharusnya menjejaskan kedudukan bahasa kebangsaan. Kedua-duanya boleh berkembang secara seiring sekiranya dasar dan pelaksanaan dilakukan dengan seimbang.

Tegas beliau, “Penggunaan bahasa yang tidak terkawal boleh membawa kepada kemerosotan nilai dalam komunikasi harian bahasa seseorang kerana bahasa mencerminkan adab dan kesantunan masyarakat.”

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi