Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sarawak dipilih sebagai tuan rumah bagi pelaksanaaan program Sambutan Ulang Tahun (SUT) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 yang mengangkat tema “Restu Jiwa Pahlawan” dijadualkan berlangsung pada 22 Jun 2026 di Hotel Pullman, Kuching.
Wadah SUT pada kali ini menyaksikan DBP sebagai sebuah sanggar peradaban ilmu yang memainkan fungsi utama yang menjadi benteng bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Menurut Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Puan Norhasmalinda Mustapa, DBP telah merancang pelbagai kegiatan berstruktur demi menyemai kecintaan yang mendalam terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan khalayak.
DBP sebenarnya telah merancang pelbagai kegiatan dalam usaha pemupukan, galakan, serta pemasyarakatan bahasa dan sastera dengan tujuan untuk menyemai kecintaan terhadap bahasa kebangsaan, selain program pembinaan bakat dan program pengembangan bahasa kebangsaan, ujarnya dalam program Cakna Bahasa menerusi BERNAMA Radio, petang tadi.
Bagi edisi khas ini, naratif tema “Restu Jiwa Pahlawan” yang diilhamkan daripada lirik lagu rasmi DBP dengan pecahan tiga kluster utama untuk menggerakkan pengisian program,iaitu Kluster Restu yang melambangkan amanat dan kepercayaan yang diwariskan oleh tokoh bahasa dan sastera terdahulu kepada karyawan serta mantan karyawan DBP pada peringkat ibu pejabat, cawangan, dan wilayah.
Kluster Jiwa pula memberikan tumpuan terhadap generasi muda (pelajar sekolah kebangsaan (SK), sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah jenis kebangsaan(SJK) Cina dan Tamil, SJKT, sekolah swasta, dan institusi pengajian tingga awam dan swasta (IPTA/IPTS) yang disifatkan sebagai nadi, roh, dan penentu kelangsungan masa hadapan negara.
Bagi Kluster Pahlawan, DBP meletakkan penjawat awam, sektor swasta, penggiat industri kreatif, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat pelbagai kaum sebagai benteng yang memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan dalam urusan komunikasi, budaya, ekonomi, serta pentadbiran.
Menyentuh mengenai kelainan program pada tahun ini, Ketua Nahagian Komunikasi Korporat, DBP itu berkongsi beberapa inisiatif baharu termasuklah Naskhah Budi MADANI, iaitu sumbangan buku terbitan DBP berskala besar ke beberapa sekolah luar bandar demi matlamat memandaikan anak bangsa.
DBP turut memperkenalkan program Sekolah Angkat DBP, Cara Tokoh, serta pengagihan dana membaca dan dana silang budaya bagi membolehkan sekolah di bawah KPM termasuk SJKC dan SJKT melaksanakan aktiviti kebahasaan, jelasnya lagi.
Sementara itu, Perancang Bahasa DBP, Encik Muhamad Rafiq Abdul Rahman menambah bahawa pengisian yang dirancang merupakan kesinambungan hasrat Menteri Pendidikan untuk memastikan “nyala rasa” perjuangan bahasa sampai kepada khalayak sasar, khususnya golongan pendidik dan pelajar.
Ujar beliau,
Siri sambutan kali ini sebenarnya telah digerakkan secara berperingkat sejak bulan April lalu menerusi program pada peringkat Zon Tengah, kemudian diteruskan pada peringkat Zon Utara pada 4 Mei dan 5 Mei 2026, disusuli program peringkat Zon Timur di Terengganu pada 8 Mei dan 9 Mei 2026 yang lalu.
Kemuncak kembara tersebut bakal menyaksikan pergerakan Kembara Mahasati Bahasa dan Sastera di bumi Sarawak bermula 15 Jun 2026 di daerah Daro (Mukah), diikuti daerah Gedong (Samarahan) pada 17 Jun dan 18 Jun 2026, sebelum majlis kemuncak SUT di Kuching yang berlangsung pada 19 Jun 2026 ini.
Di Kuching, pelbagai pengisian menarik bakal dilaksanakan termasuklah program Bersama-sama dengan Sasterawan Negeri serta penganjuran Section Award di IPG Kampus Sarawak pada 19 Jun 2026 sebelum program kemuncak “Wacana Bahasa Jiwa Bangsa” yang menampilkan panel pakar dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang akan berlangsung pada hari kemuncak, 22 Jun 2026.
Dari sudut produk eksklusif pula, Encik Muhamad Rafiq memaklumkan bahawa DBP bakal melancarkan Setem Khas Sambutan Ulang Tahun DBP ke-70 dengan kerjasama Pos Malaysia serta pengenalan medalion (wang syiling emas peringatan) 70 Tahun DBP sebagai cenderamata kenangan untuk masyarakat.
Tambah beliau, pemilihan lokasi program di seluruh negara terbukti mempunyai signifikan sejarah yang tersendiri bagi mengangkat tokoh sastera negara.
Antara tokoh sastera negara yag diangkat termasuklah Pendeta Za’ba di Kuala Pilah, Shahnon Ahmad dan Azizi Haji Abdullah anak kelahiran jati Kedah, serta J.M. Aziz di Seberang Takir, Terengganu. tambahnya.
Bagi menjayakan program berskala besar ini, DBP bergerak secara kolaboratif bersama-sama Kerajaan Negeri Sarawak; Bahagian Istiadat, Pejabat Premier Negeri Sarawak; Radio Televisyen Malaysia (RTM), rakan media, serta pelibatan secara langsung komuniti akar umbi di kawasan sekitar Daro, Gedong, dan Kuching.
Majlis perasmian SUT DBP pada tahun ini akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Yang Terutama Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Hotel Pullman, Kuching pada 22 Jun 2026.