Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Wacana 152: Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Negara yang berlangsung di Dewan Wawasan, Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, semalam mengangkat kepentingan bahasa Melayu sebagai tunjang utama pembinaan jati diri bangsa dan pengukuhan negara.
Program sempena Sambutan Ulang Tahun ke-70 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) peringkat Wilayah Timur itu telah dirasmikan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
YBhg. Tan Sri Syed Danial dalam ucapan perasmiannya menegaskan bahawa bahasa merupakan elemen teras yang membentuk identiti sesebuah bangsa dan negara, selain simbol lain seperti bendera, jata dan lagu kebangsaan.
Menurut beliau, bahasa Melayu telah lama berperanan sebagai bahasa pentadbiran dan pemerintahan, termasuk sejak zaman Kesultanan Melayu dahulu serta era pemerintahan Rajah Brooke di Sarawak.
Beliau turut menjelaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa Melayu perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas, yang melibatkan kesedaran kolektif rakyat terhadap peranan bahasa sebagai asas kesepaduan nasional.
Ujar beliau, “Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi, tetapi lambang jati diri yang menghubungkan individu, masyarakat dan negara dalam satu kesatuan yang kukuh.”

Beliau juga mengingatkan bahawa pemerkasaan bahasa kebangsaan tidak boleh dipisahkan daripada kefahaman rakyat terhadap sejarah dan asal usul pembinaan negara.
Menurut beliau, kesedaran terhadap persamaan dalam kalangan rakyat melalui bahasa mampu memperkukuh perpaduan, sekali gus memastikan identiti nasional sentiasa terjamin.
“Malaysia terdiri daripada rakyat yang berbilang kaum. Jadi, keseragaman bahasa itu penting untuk difahami oleh semua masyarakat supaya keamanan dan keharmonian negara Malaysia kekal terjamin,” ujar beliau.
Sementara itu, ucap utama disampaikan oleh Ahli Dewan Negara merangkap Penyandang Kursi Raja-raja Melayu UiTM, Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan. Beliau menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu pada aras yang betul, khususnya bagi membezakan penggunaan bahasa formal dan bahasa basahan.
Beliau menyatakan bahawa terdapat kelemahan dalam aspek tersebut yang menjadi antara punca kemerosotan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar.
Ujar beliau, “Bahasa Melayu berfungsi sebagai wahana ilmu dan bukan sekadar medium komunikasi harian.”
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa aspek kesantunan bahasa dan ketepatan penggunaan bahasa Melayu dalam konteks rasmi perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan fungsi intelektual bahasa terus terpelihara.

Beliau turut menyentuh kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
“Namun, pelaksanaan dasar yang tidak konsisten, termasuk penggunaan bahasa Inggeris dalam bidang tertentu pada peringkat pengajian tinggi sejak 2005 telah menjejaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.” ujar beliau.
Sehubungan dengan itu, beliau menyambut baik cadangan pindaan Akta DBP yang dijangka dibentangkan di Parlimen bagi memperkukuh peranan institusi tersebut demi memartabatkan bahasa Melayu secara lebih berkesan.
Masyarakat dilihat sebagai barisan utama dalam memainkan peranan untuk menerapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara bangsa yang berdaulat dan beridentiti serta terus terpelihara untuk menghadapi cabaran globalisasi.
Yang turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Felo Kenegaraan, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), YB Senator Dato’ Prof. Emeritus Dr. Mohammad Redzuan Othman; Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) merangkap Ahli Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Hajah Nor Hashimah Jalaluddin; Pengarah DBP Wilayah Timur, YBrs. Puan Ariza Che Ismail; Pengarah AKM Negeri Kelantan, Puan Zuryati Zakaria; dan Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, Dr. Mohd Rozi Ismail.