Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa negara dan bahasa perpaduan menerusi pelbagai inisiatif strategik termasuk pengantarabangsaan bahasa kebangsaan.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari berkata, usaha tersebut menjadi antara fokus utama dalam Pelan Strategik DBP 2026–2030 bagi memastikan bahasa Melayu terus relevan dan berperanan sebagai wahana pembinaan jati diri bangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bicara Tokoh Penerima S.E.A. Write Award Malaysia 2024 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBP, pagi tadi.

Menurut beliau, program anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP di bawah jenama “Bicara Tokoh Penerima S.E.A. Write Award Malaysia” merupakan antara pengisian penting sambutan ulang tahun DBP.

Beliau berkata,

Penubuhan DBP pada 22 Jun 1956 berperanan untuk mempertahankan jati diri negara melalui bahasa, sastera dan budaya.

Ketika negara menuju kemerdekaan, persoalan yang penting bukan hanya soal ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi kaedah untuk mempertahankan identiti bangsa melalui bahasa kebangsaan.

Beliau menjelaskan bahawa setelah dinaik taraf sebagai badan berkanun pada tahun 1959, DBP diberikan enam fungsi utama termasuk membina dan memperkasakan bahasa Melayu, melahirkan bakat sastera, memperbanyak penerbitan buku serta membangunkan istilah dan korpus bahasa.

Datuk Dr. Hazami berkata, walaupun penguasaan pelbagai bahasa asing penting untuk tujuan diplomasi, ekonomi dan akses ilmu, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan satu kewajipan yang perlu dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, terdapat kecenderungan segelintir masyarakat yang menganggap penggunaan bahasa Inggeris lebih berprestij berbanding dengan bahasa Melayu sehingga menimbulkan sikap kurang menghargai bahasa kebangsaan sendiri.

Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Namun begitu, masih ada (kelompok) yang melihat penggunaan bahasa Inggeris sebagai lambang kemajuan dan status sosial.

DBP tidak pernah menghalang penguasaan bahasa lain, tetapi dalam urusan rasmi dan pembinaan identiti negara, bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman lawatan kerja ke negara China dan Rusia yang menunjukkan penghargaan tinggi masyarakat antarabangsa terhadap bahasa Melayu.

Menurutnya, sebanyak 16 universiti di China menawarkan kursus Pengajian Bahasa Melayu, malah sebahagian besar pelajar yang mengambil kursus tersebut mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar.

“Negara maju seperti China, Rusia, Jepun, Jerman dan Perancis membangun menggunakan bahasa mereka sendiri. Oleh itu, rakyat Malaysia tidak seharusnya beranggapan bahawa kemajuan hanya boleh dicapai melalui penggunaan bahasa asing,” katanya.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari berucap dalam program Bicara Tokoh Penerima S.E.A. Write Award Malaysia 2024 yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan, bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-70 DBP, pagi tadi.

Beliau berkata, antara cabaran terbesar yang dihadapi DBP selepas tujuh dekad penubuhannya termasuklah membetulkan pemikiran masyarakat yang masih terpengaruh dengan mentaliti warisan penjajahan sehingga memandang rendah terhadap bahasa sendiri.

Pada masa yang sama, Datuk Dr. Hazami merakamkan penghargaan kepada IPG Kampus Tun Abdul Razak yang sentiasa memberikan kerjasama erat terhadap DBP untuk menjayakan pelbagai program pemerkasaan bahasa dan sastera.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima S.E.A. Write Award Malaysia 2024, YBrs. Encik Roslan Jomel yang disifatkan sebagai antara penulis Sarawak yang berjaya mengharumkan nama negeri dan negara pada peringkat antarabangsa.

“Anak-anak bakal guru yang berada di sini perlu membawa semangat mencintai bahasa dan sastera kebangsaan apabila berkhidmat di sekolah nanti. Tanggungjawab mempertahankan bahasa dan budaya bangsa terletak di bahu generasi pendidik,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut memaklumkan mengenai pelaksanaan program Munsyi Siswa yang diperkenalkan hasil kerjasama DBP dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia bagi melahirkan guru Bahasa Melayu yang bukan sahaja menguasai aspek pedagogi, malah benar-benar menjiwai bahasa kebangsaan.

Menurut beliau, daripada sebanyak 2299 peserta yang mengikuti kursus dan penilaian program tersebut, sejumlah 1975 peserta atau 83 peratus berjaya lulus dan menerima tauliah Munsyi Siswa, manakala 375 peserta lagi belum memenuhi syarat kelulusan.

Beliau turut memuji pencapaian peserta dari Sarawak yang mencatat kadar kelulusan 100 peratus dalam program berkenaan.

“Cabaran kita hari ini ialah membentuk generasi yang benar-benar mencintai dan menjiwai bahasa Melayu agar bahasa ini terus subur pada masa hadapan,” katanya.

Kredit Foto: Norfazrie Isquandy
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi