Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuching – Sambutan Ulang Tahun (SUT) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-70 yang mengangkat tema “Restu Jiwa Pahlawan” menjadi wadah penting dalam memperkukuh semangat pemerkasaan bahasa kebangsaan, khususnya dalam kalangan generasi muda dan pelbagai lapisan masyarakat.
Bersempena dengan SUT DBP ke-70, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Dr. Hazami Jahari tampil memberikan perkongsian dalam program Selamat Pagi Sarawak yang bersiaran langsung menerusi Sarawak FM, pagi tadi.
Menurut beliau, tema tersebut membawa maksud gabungan tiga elemen utama, iaitu “restu”, “jiwa” dan “pahlawan” yang mencerminkan kekuatan dalaman karyawan DBP, peranan generasi muda sebagai pewaris bahasa, serta sokongan pelbagai pihak dalam memperjuangkan bahasa Melayu.
Beliau berkata,
Elemen pertama, iaitu “restu” merujuk semangat dan pengiktirafan daripada pejuang bahasa terdahulu, manakala “jiwa” memberikan penekanan kepada pembinaan kecintaan terhadap bahasa dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Sementara itu, “pahlawan” pula merangkumi semua pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersama-sama menjayakan agenda bahasa kebangsaan.
Tambahnya, pemilihan Sarawak sebagai lokasi sambutan kemuncak adalah bertepatan dengan peranan negeri itu sebagai contoh perpaduan bahasa, iaitu bahasa Melayu digunakan secara meluas sebagai bahasa perhubungan antara pelbagai kaum seperti Iban, Bidayuh, Kayan dan Kelabit.
Sambutan kali ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti yang dimulakan di Daro dan Gedong, termasuk program di sekolah, persembahan seni, pemasangan papan pantun, serta kegiatan komuniti.
“Majlis kemuncak SUT DBP ke-70 dijadualkan berlangsung pada 22 Jun 2026 di Hotel Pullman, Kuching dengan pengisian seperti wacana Bahasa Jiwa Bangsa,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa penguasaan pelbagai bahasa merupakan satu kelebihan, namun penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan tanggungjawab yang perlu dipelihara oleh setiap rakyat Malaysia.
“Bahasa jiwa bangsa. Tanpa usaha kita sendiri untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan, identiti negara tidak akan lengkap,” tegasnya.
