Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu − Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah terus memperkukuh komitmennya dalam memelihara dan mengembangkan bahasa sukuan di negeri tersebut melalui penganjuran Sesi Libat Urus Jawatankuasa Pelestarian Bahasa Sukuan DBP Peringkat Negeri Sabah yang berlangsung pada hari ini di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah.

Program yang dianjurkan oleh Unit Pembinaan dan Penyelidikan ini menghimpunkan beberapa agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan badan bukan kerajaan sebagai pemegang taruh yang berkepentingan bagi membincangkan usaha memperkasakan pelestarian bahasa sukuan secara lebih tersusun, strategik dan bersepadu.
Dalam ucapan alu-aluan, Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin selaku pengerusi sesi ini menyatakan bahawa bahasa sukuan merupakan khazanah warisan yang tidak ternilai dan menjadi cerminan identiti, sejarah, nilai serta kebijaksanaan masyarakat pelbagai etnik di Sabah.
Menurut beliau, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, bahkan menjadi wahana penyampaian ilmu, adat resam, kesusasteraan, kepercayaan dan pandangan hidup sesuatu masyarakat yang perlu dipelihara agar tidak lenyap ditelan arus perubahan zaman.
Beliau turut menekankan bahawa tanggungjawab melestarikan bahasa sukuan tidak mampu digalas oleh DBP secara bersendirian, sebaliknya usaha ini memerlukan komitmen, sokongan dan kerjasama yang erat daripada pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, institusi penyelidikan, pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin masyarakat, pengamal budaya, golongan belia serta penutur jati bahasa sukuan itu sendiri.
Perkongsian pintar yang diwujudkan melalui sesi libat urus ini diharapkan dapat menjadi pemangkin terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif yang lebih menyeluruh demi memastikan bahasa sukuan terus dipelihara, diperkasa dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Penubuhan Jawatankuasa Pelestarian Bahasa Sukuan DBP merupakan kesinambungan terhadap pelbagai usaha pelestarian bahasa sukuan yang telah dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sabah sejak awal tahun 1980-an.
Sepanjang tempoh tersebut, DBP Cawangan Sabah telah menjalankan pelbagai program pembinaan dan penyelidikan bahasa, termasuklah pengumpulan kosa kata, pendokumentasian bahasa, penyelidikan budaya dan sastera masyarakat pelbagai etnik di Sabah, penyediaan bahan rujukan, penerbitan ilmiah serta pelaksanaan program kesedaran berkaitan dengan kepentingan memelihara bahasa sukuan.
Sabah yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan budaya memiliki puluhan bahasa sukuan yang menjadi lambang kekayaan warisan negeri ini. Namun begitu, perkembangan pesat globalisasi, urbanisasi serta perubahan corak penggunaan bahasa dalam kalangan generasi muda mewujudkan jurang yang semakin besar terhadap kelangsungan sebahagian bahasa tersebut.
Oleh hal yang demikian, usaha pendokumentasian, penyelidikan dan pengembangan bahasa sukuan perlu dilaksanakan secara berterusan dan sistematik agar khazanah bahasa yang diwarisi sejak turun-temurun tidak pupus. Antara fokus utama yang dibincangkan dalam sesi libat urus ini termasuklah penyelarasan pelaksanaan program pelestarian bahasa sukuan pada peringkat negeri, pemantapan peranan DBP sebagai peneraju dalam bidang pemeliharaan, pendokumentasian dan pengembangan bahasa sukuan, pengukuhan kerjasama strategik antara pelbagai agensi dan organisasi, serta penerokaan inisiatif baharu yang dapat memperluas usaha pelestarian bahasa melalui penyelidikan, penerbitan, pendigitalan, dokumentasi dan program pembangunan masyarakat.
Sesi libat urus telah berlangsung dalam suasana yang terbuka dan konstruktif apabila setiap agensi diberikan ruang untuk berkongsi pengalaman, kepakaran, program sedia ada serta cadangan kerjasama yang boleh dilaksanakan secara bersama.
Perkongsian tersebut juga memberikan peluang kepada semua pihak untuk mengenal pasti kekuatan masing-masing serta meneroka pendekatan baharu yang lebih berkesan dalam memperkukuh agenda pelestarian bahasa sukuan di Sabah.
Antara perkara yang turut disentuh termasuklah kepentingan melibatkan generasi muda dalam pelbagai program bahasa dan budaya, memanfaatkan teknologi digital sebagai medium pendokumentasian dan penyebaran bahasa sukuan, memperluas jaringan penyelidikan bersama institusi akademik serta memperkukuh dokumentasi bahasa melalui penghasilan kamus, glosari, rakaman lisan, manuskrip dan bahan penerbitan yang dapat dijadikan rujukan oleh masyarakat dan penyelidik pada masa hadapan.
Sesi libat urus ini memperlihatkan kesungguhan semua pihak dalam usaha membina jaringan kerjasama yang lebih mantap demi memastikan usaha pelestarian bahasa sukuan dapat dilaksanakan secara bersepadu, berimpak tinggi dan berterusan.
DBP Cawangan Sabah berharap sesi libat urus ini menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara semua pemegang taruh dalam memperkasakan lagi bahasa sukuan di negeri Sabah.
Dengan adanya komitmen bersama, usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan pengembangan bahasa sukuan diyakini akan dapat diperkasakan secara lebih sistematik, sekali gus memastikan khazanah bahasa, budaya dan ilmu masyarakat pelbagai etnik di Sabah terus lestari, dihargai dan diwariskan kepada generasi masa hadapan sebagai sebahagian daripada identiti dan jati diri bangsa Malaysia.

Yang turut hadir dalam sesi libat urus ini termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Profesor Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul; Pengarah Arkib Negara Negeri Sabah, Encik Datu Royniesham bin Datu Pindatun; Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Encik Abqaree Fawwaz Abekan; serta wakil Kumpulan Yayasan Sabah, Jabatan Penyiaran Sabah, Lembah Kebudayaan Negeri Sabah, Jabatan Penerangan Sabah dan Perpustakaan Negeri Sabah, Ketua Unit DBP Cawangan Sabah serta pegawai di Unit Pembinaan dan Penyelidikan, DBP Cawangan Sabah.