Diterbitkan pada 17 Julai 2026, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan dan penerbitan ilmiah berbahasa Melayu diperkasakan dengan penganjuran Bengkel Bimbingan Penerbitan Bab dalam Buku Berbahasa Melayu Berindeks Scopus bersama Penerbit Universiti Putra Malaysia (UPM) yang berlangsung pada 14 hingga 15 Julai 2026 di Dewan Kuliah SK1 yang dianjurkan oleh Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM).

Pengarah Penerbit UPM, YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan ketika menyampaikan ceramahnya.

Program ini dikendalikan oleh Pengarah Penerbit UPM, YBhg. Profesor Ir. Ts. Dr. Mohamed Thariq Hameed Sultan yang menghimpunkan pensyarah, penyelidik serta pelajar pascasiswazah dari pelbagai pusat pengajian di USM. Beliau berkongsi pengalaman serta strategi menghasilkan bab dalam buku yang berkualiti tinggi untuk memenuhi piawaian penerbitan antarabangsa.

Bengkel berkenaan diadakan bersempena dengan Simposium Antarabangsa Bahasa, Sastera dan Peradaban Melayu, hasil kerjasama antara Penerbit UPM dengan Yayasan Generasi Malaysia pada 26 dan 27 Ogos 2026 nanti. Program tersebut turut membuka ruang kepada peserta untuk membina jaringan kolaborasi penyelidikan serta meningkatkan peluang penerbitan bab dalam buku berbahasa Melayu yang diindeks Scopus.

Dalam sesi perkongsian, YBhg. Profesor Dr. Mohamed Thariq menegaskan bahawa bahasa Melayu mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai bahasa ilmu pada peringkat global sekiranya penyelidikan yang dijalankan memenuhi standard akademik antarabangsa.

Scopus tidak melihat bahasa pengantar semata-mata, sebaliknya menilai kualiti penyelidikan, ketelitian metodologi, impak ilmu dan integriti penulisan.

Oleh itu, penyelidik Malaysia perlu yakin bahawa bahasa Melayu juga mampu berdiri sama tinggi di pentas antarabangsa apabila karya yang dihasilkan benar-benar berkualiti.

Beliau turut menjelaskan bahawa penerbitan bab buku berindeks Scopus bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi universiti, malah berperanan memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa kebangsaan agar terus menjadi rujukan masyarakat akademik dunia.

“Kita tidak boleh membiarkan bahasa Melayu hanya menjadi bahasa komunikasi. Bahasa ini mesti terus hidup sebagai bahasa penyelidikan, bahasa inovasi dan bahasa penerbitan ilmiah. Tanggungjawab itu berada di bahu para penyelidik sendiri,” tambah beliau.

Sepanjang bengkel, peserta diberi pendedahan tentang pemilihan tema penyelidikan, pembinaan hujah akademik, penyediaan manuskrip mengikut kehendak penerbit, proses semakan editorial serta aspek etika penerbitan. Sesi bimbingan secara langsung turut membolehkan peserta menilai kekuatan manuskrip masing-masing sebelum dihantar untuk proses penerbitan.

Program itu juga memberikan penekanan terhadap pembinaan budaya penyelidikan yang berimpak tinggi melalui kolaborasi antara universiti, penerbit akademik dengan institusi penyelidikan. Pendekatan tersebut dilihat mampu meningkatkan kewujudan (visibility) hasil penyelidikan tempatan pada peringkat antarabangsa tanpa mengabaikan martabat bahasa Melayu sebagai wahana penyebaran ilmu.

Peserta yang terlibat dalam bengkel tersebut.

Penganjuran bengkel ini membuktikan bahawa usaha memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak lagi terhad terhadap wacana atau dasar semata-mata. Sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan konkrit yang menyokong penghasilan penerbitan ilmiah berkualiti tinggi. Inisiatif seperti ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak penyelidikan berbahasa Melayu yang mampu menembusi pangkalan data antarabangsa, lantas mengangkat reputasi universiti dan penyelidik Malaysia di persada global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi