Diterbitkan pada 23 Julai 2026, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Kerajaan Negeri Kelantan menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu termasuk mengemukakan cadangan penganjuran Anugerah Bahasa dan Sastera Kelantan sebagai platform bagi mengiktiraf tokoh bahasa dan sastera serta merancakkan penghasilan lebih banyak karya berkualiti di negeri ini.

Cadangan itu menjadi antara agenda utama yang dibincangkan ketika kunjungan hormat delegasi DBPWT yang diketuai oleh Pengarah DBPWT, YBrs. Puan Ariza Che Ismail ke Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat di Mabna Kota Darulnaim, semalam.

Menurut Pengarah DBPWT, kunjungan tersebut turut membawa agenda untuk memperkukuh sokongan Kerajaan Negeri terhadap pelaksanaan pelbagai inisiatif pemerkasaan bahasa kebangsaan dan kesusasteraan Melayu di Kelantan.

Pengarah DBPWT, Puan Ariza Che Ismail ketika berkunjung hormat ke Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Dato’ Wan Roslan Wan Hamat di Mabna Kota Darulnaim.

Kita berbesar hati apabila Kerajaan Negeri Kelantan bersetuju untuk terus memperkukuh komitmen untuk memimpin agenda pemerkasaan bahasa kebangsaan dan kesusasteraan melalui dasar, inisiatif serta pelaksanaan program berimpak tinggi.

Pemerkasaan bahasa kebangsaan akan menjadi lebih berkesan apabila didukung oleh Kerajaan Negeri kerana kerajaan mempunyai keupayaan membentuk dasar serta mewujudkan ekosistem yang menghargai bahasa dan sastera sebagai wahana pembinaan peradaban, pemerkasaan jati diri dan kelangsungan warisan bangsa.

Beliau juga memaklumkan bahawa cadangan penganjuran Anugerah Bahasa dan Sastera Kelantan mempunyai nilai strategik kerana hal tersebut bukan sahaja sebagai pengiktirafan rasmi terhadap tokoh, penulis, sasterawan dan penggiat bahasa, malah mampu menjadi pemangkin terhadap penghasilan lebih banyak karya yang bermutu serta berdaya menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Pengiktirafan sebegini bukan sahaja menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk berkarya, menyelidik dan menyumbang ke arah pembangunan bahasa serta sastera Melayu, bahkan turut menjadi pelaburan jangka panjang terhadap warisan intelektual negara,” jelasnya.

Sementara itu, YB Dato’ Wan Roslan menyambut baik cadangan tersebut dan komitmen DBPWT untuk memperluaskan kerjasama demi memperkasakan penggunaan bahasa Melayu, menggalakkan budaya penulisan dan melahirkan lebih ramai tokoh bahasa serta sastera di Kelantan.

Beliau berkata, penganjuran Anugerah Bahasa dan Sastera Kelantan wajar direalisasikan sebagai penghormatan kepada individu yang telah banyak berjasa memartabatkan bahasa dan kesusasteraan Melayu, di samping menjadi pemangkin bagi melahirkan lebih ramai penulis dan pengkarya berkualiti.

Ujar beliau,

Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan sebarang usaha serta jalinan kerjasama yang mampu menyemarakkan budaya ilmu, memperluaskan tradisi penulisan dan menyuburkan kecintaan terhadap bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Bahasa Melayu bukan sekadar medium komunikasi, malah merupakan wahana penyatuan masyarakat serta lambang identiti dan warisan bangsa yang perlu terus dipelihara dan diperkasakan,” katanya menerusi hantaran di media sosial rasmi selepas menerima kunjungan hormat tersebut.

Menurutnya, pertemuan itu turut membolehkan mereka saling bertukar pandangan mengenai pelbagai bentuk kerjasama melibatkan program bahasa, sastera, pendidikan, penerbitan dan pembangunan modal insan.

Tambahnya, pelaksanaan program secara bersepadu antara Kerajaan Negeri dengan DBPWT diyakini mampu memperluas pelibatan masyarakat dalam aktiviti kebahasaan, meningkatkan apresiasi terhadap karya sastera Melayu dan memastikan khazanah bahasa terus dipelihara demi generasi akan datang.

YB Dato’ Wan Roslan turut merakamkan penghargaan kepada DBPWT atas kunjungan tersebut dan berharap hubungan strategik yang terjalin akan terus diperkasakan menerusi pelbagai program berimpak tinggi.

“Semoga kerjasama ini menjadi pemangkin terhadap usaha memartabatkan bahasa dan sastera sebagai warisan, jati diri bangsa dan pemacu pembinaan masyarakat berilmu di Kelantan,” katanya.

Yang turut hadir dalam sesi kunjungan hormat tersebut termasuklah Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, YB Kamaruzaman Mohamad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi