Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perpustakaan masa hadapan perlu bertransformasi daripada sekadar pusat akses maklumat kepada ruang pengalaman pengetahuan yang menghubungkan masyarakat, komuniti dan teknologi bagi memastikan institusi tersebut terus relevan pada era kecerdasan buatan atau artificial intellingence (AI).
Kepala Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Provinsi DKI Jakarta, Dr. Nasruddin Djoko Surjono berkata, kemunculan AI yang mampu menghasilkan ringkasan dan analisis buku secara automatik menimbulkan persoalan besar tentang masa hadapan perpustakaan.
“Apakah dengan AI ini perpustakaan akan mati? Itulah persoalan yang menjadi pemicu terhadap usaha kami untuk memastikan perpustakaan terus relevan,” katanya ketika menyampaikan ucap utama bertajuk “Transformasi Layanan Perpustakaan Jakarta: Dari Akses Menuju Pengalaman Pengetahuan di Era AI dan Ruang Ketiga” bersempena dengan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan teknologi telah membawa perubahan besar terhadap cara manusia berinteraksi dengan maklumat. Evolusi bahasa pengaturcaraan kini membolehkan manusia berkomunikasi dengan mesin menggunakan pemprosesan bahasa tabii atau Natural Language Processing (NLP) tanpa memerlukan kod yang kompleks.
Dalam keadaan itu katanya, perpustakaan perlu mengubah pendekatan tradisional dengan memberikan tumpuan terhadap pembangunan komuniti dan pengalaman pengguna.
Menurut beliau, Perpustakaan Jakarta kini mengamalkan konsep “ruang ketiga”, iaitu ruang sosial yang berada di antara rumah dengan tempat kerja bagi menyediakan tempat yang selesa untuk masyarakat bertemu, belajar dan berinteraksi.
“Budaya manusia masih memerlukan ruang untuk berdialog dan berkumpul. Oleh sebab itu, perpustakaan masih penting walaupun teknologi berkembang dengan sangat pantas,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut berjaya meningkatkan jumlah pengunjung perpustakaan di Jakarta. “Antara langkah yang dilaksanakan termasuklah memanjangkan waktu operasi sehingga jam 10 malam, menyediakan ruang interaktif untuk kanak-kanak serta menganjurkan program kebudayaan dan literasi yang menarik minat golongan muda,” jelasnya,
Perpustakaan Jakarta juga mengadakan program khas yang memberikan peluang kepada murid sekolah menghasilkan karya mereka sendiri. Menurut beliau, lebih 3600 buku berjaya dihasilkan oleh pelajar sekolah dalam tempoh setahun dan dipamerkan di perpustakaan sebagai galeri karya masyarakat.
Beliau turut menjelaskan bahawa perpustakaan tersebut sedang memperluas usaha pendigitalan koleksi termasuk manuskrip dan naskhah lama yang mengandungi pelbagai khazanah ilmu serta memori kolektif masyarakat.
“Manuskrip lama dan bahan sejarah perlu didigitalkan supaya ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dimanfaatkan semula melalui teknologi baharu termasuk AI,” katanya.
Beliau percaya bahawa pendigitalan koleksi akan membuka peluang terhadap penggunaan data raya dan AI bagi membantu masyarakat meneroka ilmu dengan lebih mudah pada masa hadapan.
Walaupun penggunaan AI secara menyeluruh masih belum dilaksanakan dalam sistem perpustakaan Jakarta, beliau berkata pihaknya telah menggalakkan pustakawan menggunakan teknologi tersebut untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan membantu pengguna mendapatkan maklumat dengan lebih pantas.
Menurut beliau, perpustakaan masa hadapan perlu bergerak daripada paradigma koleksi kepada komuniti, daripada akses kepada pengalaman, dan daripada institusi penyimpanan maklumat kepada pusat pembelajaran sosial yang inklusif.
Beliau menegaskan bahawa peranan perpustakaan sebagai ruang ketiga akan terus penting kerana masyarakat tetap memerlukan tempat untuk berinteraksi, bertukar idea dan membina hubungan sosial meskipun maklumat boleh diperoleh dengan mudah melalui AI.