Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai (AI) perlu dilihat sebagai pemangkin yang memperkukuh industri terjemahan dan bukannya ancaman yang bakal menggantikan peranan penterjemah manusia.” Demikian ucapan YBhg. Profesor Dr. Goh Sang Seong dalam ucap utama beliau pada Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka, hari ini.
Menurut beliau, dunia terjemahan kini sedang melalui anjakan paradigma yang memerlukan pengamal industri menerima hakikat bahawa AI akan menjadi sebahagian daripada proses kerja profesional pada masa hadapan.
Penterjemah profesional tidak mungkin lagi bekerja hanya dengan komputer, tetapi perlu ada AI. Oleh itu, mahu tidak mahu, industri penterjemahan perlu menerima hakikat tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa terjemahan pada era AI perlu ditakrifkan semula sebagai satu bentuk sinergi antara manusia dengan mesin, selain dilihat sebagai satu senario yang melibatkan pelbagai faktor seperti etika, budaya, hak cipta dan kualiti korpus bahasa.
Dalam pembentangannya, beliau turut membangkitkan isu kekurangan korpus digital berbahasa Melayu dalam alam siber yang menurut kajian hanya berad pada kadar antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada keseluruhan kandungan digital dunia. Keadaan itu menyebabkan sistem AI sering menghasilkan kandungan yang kurang tepat serta dipengaruhi oleh penggunaan bahasa yang tidak baku.
Sebanyak 80 peratus korpus bahasa Melayu dalam dunia siber adalah data yang kotor dan tercemar dengan bahasa rojak, slanga, rancu serta bentuk bahasa yang tidak mengikut lunas tatabahasa,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa usaha memperkaya korpus digital bahasa Melayu perlu dipercepatkan melalui kerjasama institusi kepustakaan, universiti dan agensi bahasa bagi memastikan AI dapat dilatih menggunakan data yang berkualiti.
Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan AI dalam terjemahan mampu mempercepat proses pemindahan ilmu dan penerbitan karya. Sebagai contoh, karya antarabangsa dapat diterjemahkan dengan lebih pantas tanpa menjejaskan kualiti sekiranya disokong oleh proses pascasuntingan manusia.
Dalam sesi tersebut, beliau turut memperkenalkan prototaip sistem terjemahan berasaskan AI yang dibangunkan oleh pasukan penyelidiknya. Sistem tersebut menggunakan elemen pengaturcaraan untuk mengawal dan menilai hasil terjemahan AI, selain menghasilkan beberapa versi terjemahan bagi membantu penterjemah membuat pilihan terbaik.
Profesor Dr. Goh turut berkongsi pembangunan sistem sari kata pelbagai bahasa secara langsung melalui platform penstriman yang dapat mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan jurubahasa konvensional.
Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa AI masih mempunyai kelemahan untuk memahami konteks budaya dan sosial, sekali gus menyebabkan berlakunya fenomena halusinasi atau penghasilan maklumat yang tidak tepat.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar negara Malaysia membangunkan satu dasar dan kod etika kebangsaan bagi penggunaan AI dalam bidang terjemahan bagi menangani isu berkaitan hak cipta, ketelusan, akauntabiliti serta tahap pelibatan manusia dalam proses terjemahan.
Mengakhiri pembentangannya, beliau menyeru pengamal industri supaya tidak takut kepada AI, sebaliknya memanfaatkan teknologi tersebut secara bijaksana untuk memartabatkan dunia terjemahan dan memperkukuh pembangunan kepustakaan ilmu negara.
“Jangan sesekali memandang rendah terhadap terjemahan kerana terjemahan merupakan pembina kepustakaan ilmu yang sangat penting,” katanya.