Diterbitkan pada 3 Januari 2025, 09:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memperkenalkan perkataan baharu melalui hantaran terkini dalam laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Perkataan tersebut ialah “hubaya” yang membawa maksud ambil perhatian; awas-awas; jaga-jaga: ataupun mudah-mudahan; moga-moga.

Perkataan seterusnya ialah “tiwikrama” yang bermaksud berusaha sedaya upaya agar tercapai maksud (cita-cita); ataupun bertukar (menjelma) jadi raksasa dan lain-lain (dalam cerita wayang).

Dalam hantaran tersebut, beliau menekankan tentang kepentingan membina sebuah negara hebat melalui lonjakan prestasi perkhidmatan awam yang lebih baik dan cekap. Ujar beliau,

Cabaran ini harus disambut oleh penjawat awam dengan menterjemahkannya melalui perkhidmatan berkualiti untuk rakyat, umpamanya tidak perlu menunggu giliran atau kelulusan yang terlalu lama seperti sebelum ini.

Hubaya ialah amalan tatakelola yang baik dan mampu menjadi pemangkin kejayaan serta pencetus reformasi perkhidmatan awam sekali gus memperbaik kelemahan sedia ada. Buanglah sifat gelojoh dan cemburu antara satu sama lain, sebaliknya baiki prestasi dan diri sendiri dengan bertiwikrama dalam meningkatkan mutu perkhidmatan awam demi kemajuan negara kita.

Hantaran tersebut dibuat selepas beliau memberikan ucapan dalam Perjumpaan YAB Perdana Menteri bersama-sama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Januari 2025 yang diadakan di Dewan De’ Seri Endon, PUSPANITASURI, pada hari ini.

Sesi perjumpaan tersebut dihadiri oleh sebanyak 1000 orang penjawat awam secara fizikal, manakala lebih 20 000 orang menyaksikan siaran langsung secara dalam talian meliputi 27 Kementerian, 13 Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Pembangunan ICU Negeri serta Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah dan Sarawak.

Pengenalan kepada perkataan baharu seumpama ini dapat meningkatkan lagi kosa kata rakyat di Malaysia dan sekali gus mewujudkan amalan penggalian ilmu. Hal ini bermaksud apabila rakyat mulai berusaha mencari maksud perkataan tersebut dilakukan sama ada melalui Kamus Dewan mahupun Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kefahaman masyarakat terhadap perkataan tersebut juga menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dengan lebih meluas dan terkini seiring dengan kemodenan dan kecanggihan teknologi yang ada.

Kredit Foto: Facebook Rasmi YAB PM Anwar Ibrahim
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi