Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) perlu mengubah cara bekerja dengan mengoptimumkan tenaga kerja yang sedia ada selain penambahbaikan tatakelola yang perlu diberikan keutamaan.
Ketua Pengarah DBP, Yang Berusaha (YBrs.) Dr. Hazami Jahari berkata, DBP tidak lagi boleh menyediakan perkhidmatan dengan cara lama, iaitu mengambil masa yang terlalu lama untuk membuat sesuatu keputusan.

Jika dahulu apabila kita membuat sesuatu keputusan, kita melibatkan banyak peringkat dan tapisan sehingga mengambil tempoh masa berbulan-bulan lamanya, walhal keputusan itu boleh sahaja dibuat dalam tempoh yang singkat, menggunakan kaedah yang dapat mempercepat proses kerja tanpa mengetepikan syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.
Namun begitu, sikap kita yang suka bertangguh menyebabkan kita tidak dapat menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, imej kita terjejas dan akhirnya kita berhadapan dengan krisis kepercayaan awam. Budaya kerja seperti inilah yang menghambat kita selama ini
Beliau berkata demikian, di hadapan semua karyawan DBP dalam Majlis Amanat Tahun Baharu di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pagi ini.
Tambah beliau lagi, semua staf DBP perlu menggantikan budaya kerja yang lama kepada budaya kerja yang sentiasa bersiap siaga untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Katanya,
Hal ini sudah tentulah selaras dengan implementasi terhadap Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menginginkan penerapan budaya kerja yang berkualiti serta keberhasilan perkhidmatan awam di luar daripada kelaziman.
Saya menyeru organisasi keramat ini, dari peringkat pengurusan sehingga peringkat pelaksana, marilah kita bersama-sama mengubah budaya kerja kita seperti yang diharapkan oleh kepimpinan negara.
Bercakap tentang Pelan Strategik DBP yang baharu bagi menggantikan Pelan Strategik DBP 2021 – 2025, beliau menyatakan bahawa dalam Input Awal Pelan Strategik DBP 2026 – 2030 yang digariskan oleh Jabatan Dasar dan Penyelidikan, antaranya termasuklah keperluan untuk memperkasakan pelaksanaan program berimpak tinggi, penjenamaan semula program, pengantarabangsaan karya dan aktiviti, pengiktirafan, pemerkasaan sinergi, penambahbaikan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi, pengimplementasian teknologi memuncul dan peningkatan kebitaraan karyawan.

Bahkan, beliau percaya bahawa pengiktirafan kerajaan menerusi peruntukan RM50 juta dalam Belanjawan 2025 dilihat mampu mendukung matlamat Pelan Strategik DBP yang sedia ada.
“Percayalah bahawa peruntukan besar yang diamanahkan kepada kita ini merupakan isyarat daripada kepimpinan negara bahawa kemampuan kita diyakini, fungsi kita harus terus dimartabatkan dan usaha kita amat diperlukan. Oleh itu, kita akan segera memperincikan agihan RM50 juta, iaitu bagi mempergiat aktiviti bahasa dan kesusasteraan khususnya dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau.
Dalam hal ini, beliau menyatakan bahawa Pelan Strategik DBP yang bakal dirangka perlu memberikan impak yang jauh ke hadapan dengan matlamat yang berkesan dan menyeluruh dalam memberikan denyut nadi yang berterusan kepada rakyat dan negara dalam konteks pemerkasaan dan pengantarabangsaan bahasa Melayu dan kesusasteraan.
Justeru, DBP tidak boleh lagi bersendirian dalam memartabatkan bahasa, sastera dan ilmu. DBP perlu bersinergi dengan pelbagai pihak yang merentas pelbagai agensi, jabatan, kementerian, institusi awam dan swasta. DBP juga perlu berperanan sebagai sumur maklumat yang akan menjadi khazanah ilmu dalam pembentukan tamadun negara.

Sementara itu, acara penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Sudut Bacaan Terbaik Peringkat DBP turut dilaksanakan. Pemenang bagi pertandingan tersebut termasuklah Bahagian Multimedia; Pusat Dokumentasi Melayu; Pejabat Ketua Pengarah; Bahagian Pengembangan dan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja/Pembinaan Bakat dan Kepakaran/Pejabat Pengarah Dasar dan Bahagian Majalah.
Turut bersama-sama memeriahkan lagi majlis pada hari ini termasuklah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Encik M Azahari Edin; serta Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus.