Diterbitkan pada 14 Januari 2025, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Guangdong University of Foreign Studies (GDUFS), China telah mengadakan lawatan akademik ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 Januari 2025 yang diisi dengan pelbagai aktiviti bermakna bagi mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang pendidikan dan bahasa antara kedua-dua institusi.

Lawatan yang melibatkan pensyarah, pelajar sarjana dan sarjana muda dari Fakulti Asia Tenggara, GDUFS ini dimulakan dengan taklimat daripada pegawai Bahagian Korporat DBP, Encik Muhammad Haziq Zakaria yang memberikan gambaran menyeluruh tentang peranan dan tanggungjawab DBP dalam memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan.

Sesi perkongsian ilmu oleh YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Kemuncak lawatan ini diteruskan lagi dengan sesi perkongsian ilmu yang bertajuk “Kembara Bahasa: Dari Pentas Negara ke Pentas Antarabangsa” yang disampaikan oleh YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, seorang tokoh terkemuka dalam bidang bahasa dan sastera bagi membawa pendengar menyelami sejarah dan tamadun bahasa Melayu purba sehingga bahasa Melayu baharu.

Dalam sesi ceramah ini, beliau turut menjelaskan enam aspek mutu bahasa yang perlu dikuasai oleh setiap pelajar dan pengguna bahasa Melayu, iaitu ejaan, tanda baca, sebutan, kosa kata, laras bahasa, dan tatabahasa sekali gus menyentuh cabaran dan peluang yang dihadapi dalam usaha mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa.

Persembahan pantun oleh pelajar GDUFS.

Setelah itu, suasana semakin meriah dengan Nyanyian lagu Rasa Sayang diiringi pantun telah dipersembahkan oleh pelajar dari GDUFS dengan bantuan pengacara majlis pada hari itu.

Seterusnya, wakil dari GDUFS, YBrs. Profesor Dr. Tan Xiao menzahirkan rasa terima kasih kepada DBP dan menyatakan bahawa lawatan ini merupakan langkah penting dan nafas baharu dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi.

Kami amat menghargai usaha DBP dalam mempromosikan bahasa Melayu kepada dunia luar dan kerjasama ini akan membuka lebih banyak peluang untuk pelajar dan penyelidik dari GDUFS memahami keindahan serta kepelbagaian bahasa dan budaya Melayu.

Lawatan kali ini merupakan pengalaman yang bermakna kepada pelajar-pelajar kami.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menyampaikan ucapan kepada peserta.

Dalam ucapan penutupan, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari menegaskan tentang pentingnya hubungan erat antara Malaysia dengan China dalam mempromosikan ilmu dan budaya.

DBP amat mengalu-alukan kedatangan GDUFS ke sini. Pengantarabangsaan bahasa Melayu ini memerlukan kerjasama dengan pelbagai pihak. Komitmen dan sinergi universiti yang menawarkan jurusan bahasa Melayu di China menunjukkan peri pentingnya institusi ini dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat global.

YBrs. Dr. Hazami Jahari turut menegaskan bahawa bahasa Melayu perlu diperluas pada peringkat ASEAN, malah sehingga ke peringkat antarabangsa. Tambahnya, lawatan seperti ini perlu diaturkan sekali lagi bagi menyemarakkan lagi hubungan kedua-dua negara terutamanya dari segi akademik.

Sebelum mengakhiri sesi lawatan itu, Falisha atau nama sebenarnya Dai Yixin, iaitu pelajar sarjana dari GDUFS berkongsi pengalamannya sepanjang mengikuti sesi tersebut.

Ujarnya,

Bahasa Jiwa Bangsa. Setelah masuk ke Wisma DBP, saya nampak moto tersebut. Saya berasa sangat gembira dan bertuah dapat mendengar ceramah daripada YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan yang menceritakan sejarah perkembangan bahasa Melayu dan memberitahu kami tentang tokoh dalam bidang ini. Hal ini memang pengalaman yang sangat bernilai dan berharga untuk disimpan dalam hati saya selama-lamanya. Terima kasih DBP!

Selanjutnya, perkongsian pengalaman daripada Damia atau nama sebenarnya Shen Lingxi, iaitu pelajar sarjana yang turut terlibat dalam lawatan akademik kali ini.

Katanya,

Saya rasa gembira berpeluang melawat ke DBP semasa kami menjalankan kajian di Malaysia. Dalam lawatan kami ke DBP, wakil DBP memperkenalkan Bahagian Korporat DBP dan Bahagian Akademi DBP yang membolehkan kami memahami operasi dan tujuannya.

Tambahan pula, satu ceramah yang menarik juga disampaikan oleh YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri  Dr. Awang Sariyan. Lawatan ini bukan sahaja mendalamkan pemahaman saya tentang bahasa Melayu, malah saya juga dapat menghayati kegembiraan pertukaran budaya.”

Kredit Foto: HANAFI MOHD YUSOF
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi