Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Sajak “Wujud yang Menipis” karya Mohd Ghazali Taib membawa tuah kepada Che Rafidah Rahim apabila beliau dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Deklamasi Sajak 2025 bersempena dengan program Kreativiti dalam Seni Berbahasa.
Program yang julung-julung kali diadakan ini merupakan anjuran Sayap Remaja Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Dewan Barakah, UnIPSAS semalam.
Che Rafidah Rahim merupakan mahasiswa tahun keempat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan dalam jurusan Sains Matematik berjaya menyampaikan puisi tersebut dengan penuh penghayatan, intonasi yang berkesan dan sebutan yang jelas.
Sementara itu, naib johan dimenangi oleh Mohammad Haziq Qayyum Jasri, pelajar semester kedua jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dengan Pentadbiran Kehakiman, UnIPSAS dengan sajaknya yang berjudul “Tawarikh Terindah” karya Raja Rajeswari Seetharaman.

Tempat ketiga menjadi milik Nur Azryn Athirah Zamzuri, pelajar tahun pertama Diploma Bahasa Inggeris, UnIPSAS dengan sajak berjudul “Cinta Murni” karya Ahmad Sarju.
Pertandingan tersebut diadakan sebagai pendedahan awal kepada mahasiswa tentang situasi sebenar sayembara, kemahiran yang diperlukan, keyakinan untuk berpuisi di atas pentas sambil disaksikan oleh khalayak penonton dan dinilai oleh pihak juri selepas menyertai bengkel penyampaian puisi yang diadakan pada sesi pagi, hari yang sama.
Menurut Penyelaras Sayap Remaja DPMP UnIPSAS, Puan Nor Azah Abdul Jalil, objektif penganjuran pertandingan adalah untuk menerapkan budaya seni berpuisi dalam kalangan mahasiswa khususnya di UnIPSAS.
Ujar beliau,
Saya berharap agar program seumpama ini dibudayakan pada peringkat institusi pengajian tinggi yang ada di Malaysia agar lebih ramai anak muda yang mahir dalam seni berbahasa khususnya dalam deklamasi puisi.
Turut hadir dalam program tersebut termasuklah Presiden DPMP, YBrs. Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mansor Abdullah; wakil pegawai DBP Wilayah Tengah, Tuan Mohd Asri Mohammad; dan Ketua DPMP kawasan Kuantan, Tuan Haji Mat Nordin Mat Salleh.