Diterbitkan pada 17 Mac 2025, 03:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marang – Persembahan pantomim yang dijayakan oleh pegawai kadet Diploma Lanjutan Sains Kebombaan dan deklamasi sajak berjudul “Bakti yang Tidak Terbalas” karya Nazrul Aziz oleh Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Syakilla Mohd Nasir dan PPgB Mohd Adam Ahmad telah menyentuh jiwa penonton yang hadir dan mencetuskan suasana hiba, semalam.

Persembahan tersebut telah dijayakan semasa Majlis Tamat Latihan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) Siri 1 Tahun 2024 dan Kursus Sijil Sains Kebombaan (KSSK) Siri 2 Tahun 2024 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wilayah Timur, Marang, Terengganu.

Aksi Penolong Penguasa Bomba Mohd Adam Ahmad ketika mendeklamasikan sajak berjudul “Bakti yang Tak Terbalas” karya Nazrul Aziz.

Penulis sajak, Penguasa Bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor, Encik Mohd Nazrullah Abdul Aziz menyifatkan karyanya itu sebagai tanda mengenang jasa enam orang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM yang telah terkorban dalam tragedi menyayat hati pada tahun 2018 yang lalu semasa dalam misi menyelamatkan seorang mangsa lemas.

Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Syakilla Mohd Nasir menjiwai sajak berjudul “Bakti yang Tak Terbalas” karya Nazrul Aziz.

Ujar beliau,

Persembahan tersebut menjadi lebih bermakna apabila adik kepada salah seorang anggota PPDA yang lemas dahulu turut bersama-sama terlibat dalam majlis ini dan ahli keluarga kepada mangsa yang lain juga hadir pada hari ini.

Antara petikan sajak beliau adalah seperti yang berikut:

Enam wira merah, wira penyelamat,
Tanpa rasa sedikit pun gentar, nyawa dipertaruh,
Demi nyawa insan lain, demi sebuah amanat,
Rasa bakti yang tak pernah surut jauh.

Dengan langkah berani, mereka mara,
Gelombang resah tidak dihiraukan,
Ribut dan arus menjadi sahabat setia,
Dalam tugas yang tiada noktahnya.

Deru angin bersaksi setia,
Betapa hati mereka tak mengenal lelah,
Dalam dingin malam atau bahang mentari,
Mereka tetap hadir, walau ajal mengintai di tepi.

Namun takdir menyurat duka,
Gelora datang menerpa tanpa diundang,
Musibah melanda bersama khabar lara,
Wira gugur di sungai abadi.

Persembahan tersebut menjadi lebih sayu apabila lakonan setiap pelakon dipersembahkan dengan penuh penghayatan dan emosi. Iringan muzik dan lagu yang menyentuh perasaan juga membuatkan  penonton mengalirkan air mata apabila terkenang akan tragedi tersebut.

Antara babak yang meruntun jiwa dalam persembahan pantomim dan deklamasi sajak tersebut.

Sementara itu, acara penuh bersejarah tersebut yang dimulakan dengan acara perbarisan terdiri daripada 30 orang PPgB DLSK melibatkan 27 pegawai JBPM dan tiga eksekutif Airport Fire Rescue Service (AFRS) dan 206 pegawai bomba KSSK yang terdiri daripada 201 pegawai JBPM dan lima pegawai bomba Pelabuhan Johor.

Ketua Pengarah JBPM, Yang Amat Setia (YAS) Dato’ Ts. Nor Hisham Mohamad semasa menyempurnakan majlis tersebut berkata,

Saya percaya motivasi, prestasi dan produktiviti perlu dipacu melalui pemantapan pembudayaan amalan nilai-nilai teras perkhidmatan awam yang ditetapkan, iaitu amanah, benar, bijaksana, adil, telus dan bersyukur.

Beliau turut menzahirkan harapan agar pegawai bomba yang berada dalam majlis tersebut menyerap roh dan jiwa sebagai anggota penyelamat bagi meneruskan legasi dan semangat keberanian yang ampuh serta sentiasa berusaha mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan berpaksikan enam rukun MADANI yang telah digagaskan oleh kerajaan.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat 1, Terengganu, Yang Berhormat Sulaiman Sulong, barisan pengurusan tertinggi JBPM, pegawai kanan AFRS dan ibu bapa para pelatih.

Kredit Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi