Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 9 April 2025, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pelantar kecerdasan buatan (AI) DELIMa dapat membantu guru dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.”

Demikian kenyataan Puan Nor Azura Mohd Hanapi, Penolong Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada sesi pembentangan kertas kerjanya dalam Kongres Pelestarian Standard Bahasa Melayu Sekolah-Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 (KOPESTA) 2.0 di Dewan Za’ba, Universiti Putra Malaysia pada pagi semalam.

Menurut beliau, selaras dengan arus pemodenan teknologi, pelantar DELIMa khususnya dalam aplikasi ChatGPT adalah sangat popular penggunaannya dalam kalangan guru di seluruh Malaysia.

Selain pelantar ChatGPT, aplikasi Tanya Buku ini juga dikhaskan untuk para guru dalam membantu pengajaran dan pembelajaran di Malaysia.

Jelas beliau, ChatGPT ini juga menggunakan bahasa yang hampir sama dengan percakapan manusia dan mampu menggunakan bahasa Melayu dengan betul berbanding dengan aplikasi Gemini dan Copilot.

Aplikasi Copilot adalah hak milik Microsoft 365 dan bahasanya agak terhad, tidak terlalu panjang untuk mendapatkan keterangan daripada sumber rujukan.

Sama juga aplikasi Gemini yang turut membantu guru mendapatkan data dan sumber rujukan dengan lengkap, tetapi dari segi bahasanya pula, masih belum digunakan sepenuhnya dalam standard bahasa Melayu. Aplikasi tersebut lebih menggunakan bahasa Indonesia.

Puan Nor Azura Mohd Hanapi semasa membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pemantapan Pengajaran Digital Bahasa Melayu melalui DELIMa” .

Pada masa yang sama, Puan Nor Azura turut berkongsi amali kaedah penggunaan aplikasi DELIMa dengan menggunakan lima format struktur kerja atau pun Prompt Engineering Framework, iaitu:

a) Peranan (Role), Tugasan (Task) dan Format;

b) Tugasan (Task), Tindakan (Action) dan Tujuan (Goal);

c) Sebelum (Before), Selepas (After) dan Jambatan (Bridge);

d) Konteks (Context), Selepas (After), Hasil (Result) dan Contoh (Example);

e) Peranan (Role), Input (Input), Langkah (Steps) dan Jangkaan (Expectations).

Di samping itu, beliau turut memperkenalkan aplikasi DELIMaFlix kepada para guru yang hadir dalam program tersebut. DELIMaFlix dikelola oleh Bahagian Sumber dan Teknologi dan Pendidikan (BSTP) dan telah dilancarkan pada akhir tahun lalu. Aplikasi ini masih dalam proses pemasukan pengajaran dan pembelajaran yang disediakan khas untuk kegunaan guru sewaktu  di dalam kelas.

Kredit Foto: Mohd Farid Januddin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi