Diterbitkan pada 17 April 2025, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Puisi “Kucari Damai Abadi” nukilan Allahyarham Tun Abdullah bin Ahmad Badawi, negarawan ulung dengan jolokan sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Negara yang meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara pada jam 7.10 malam pada 14 April 2025 dan telah selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, semalam, menjadi tular dan dikongsikan oleh rakyat Malaysia di media sosial masing-masing.

Kulit hadapan buku Kucari Damai Abadi nukilan Allahyarham Tun Abdullah bin Ahmad Badawi.

Puisi yang ditulis oleh Allahyarham pada tahun 2004 semasa menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-5 tersebut mengandungi mesej kerohanian yang sarat dengan pesanan tersirat dan amat meruntun jiwa pembaca dengan pemilihan kata-kata yang mendalam maksudnya.

Di samping itu, puisi ringkas sepanjang 18 baris tersebut turut dilagukan oleh Datuk Ramli Sarip yang dikenali sebagai Papa Rock Malaysia pada tahun yang sama dan pernah dipersembahkan semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur ketika era kepimpinan Allahyarham sebagai Perdana Menteri.

Lebih menarik lagi, lagu puisi tersebut turut dimuatkan dalam album “Sadaqa” oleh Datuk Ramli Sarip terbitan tahun 2012 bersama-sama 13 buah lagu nyanyian beliau yang lain dan menjadi sebuah lagu kerohanian yang menyentuh perasaan dan digemari ramai pendengar.

Selain itu, puisi tersebut juga pernah diterjemahkan kepada 80 bahasa termasuklah bahasa Inggeris dan bahasa Rusia serta diterbitkan sebagai sebuah buku berjudul Kucari Damai Abadi. I Seek Eternal Peace. In 80 Languages terbitan Penerbit Universiti Malaya pada tahun 2008 yang mengandungi 88 halaman. Buku ini boleh dibaca melalui pautan https://openlibrary.org/books/OL24365197M/Ku_Cari_Damai_Abadi#editions-list

Antara individu yang terlibat dalam penerbitan buku tersebut termasuklah V. A. Pogadaev sebagai editor, penulis pengenalan dan penterjemah; Ahmad Kamal Abdullah sebagai kurator; Azirah Hashim sebagai penulis kata pengantar; Mior Nazaruddin dan Roslina Haji Chik sebagai jurugambar; Samigan Osman sebagai pengatur huruf; dan Norhapipah Satam sebagai pereka kulit buku.

Bait-bait sajak tersebut diperturunkan seperti yang berikut:

Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,

Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie,
Kita bongkar rahsia kitab suci,
Cari pedoman,
Kita bongkar rahsia sunnah nabi,
Cari panduan,
Aku hidup kerana Dia Rabbi,
Dialah teman,
Dialah wali,
Dia mencukupi,
Aku hidup bererti,
Menikmati damai abadi.

Sementara itu, menurut penulis Kamarul Ariffin Nor Sadan dalam hantaran di media sosialnya, beliau menyifatkan puisi tersebut menekankan bahawa kebahagiaan sejati tidak datang daripada kekayaan material atau hiburan duniawi, tetapi daripada kesedaran dan hubungan dengan Yang Maha Esa.

Ujar beliau,

Setiap baris mengajak pendengar atau pembacanya untuk merenung kembali apa-apa yang paling penting dalam kehidupan yakni mencari dan menikmati damai yang kekal melalui iman serta penghayatan terhadap petunjuk suci.

“Puisi tersebut terus memberikan inspirasi kepada ramai orang. Hal ini menunjukkan betapa mendalamnya falsafah yang diungkapkan oleh Pak Lah dalam usahanya mengajak masyarakat untuk memandang kehidupan melalui perspektif yang lebih holistik dan bermakna,” tambah beliau lagi.

Pada masa yang sama, penyair Amaruszati Noor Rahim turut berkongsi pengalaman beliau mendeklamasikan sajak tersebut dalam suatu pertandingan yang disertainya suatu masa dahulu.

Jelas beliau,

Puisi ini pendek tetapi mencabar untuk mencari kelainan nada. Kata-katanya minimum, tetapi sarat makna. Pada malam pertandingan, saya mengalami migrain yang teruk dan tidak sihat. Saya cuba buat sehabis baik. Turun pentas, saya berlari mencari tempat untuk muntahkan angin yang bergelora dalam perut. Saya dapat tempat kedua. Alhamdulillah.

“Pak Lah, waktunya singkat memimpin negara. Sebagai manusia yang tahu berterima kasih, jarak masa pendek atau panjang, sebentar atau lama bukanlah satu ukuran. Terima kasih, Pak Lah, salam terakhir,” ujar beliau.

Tuntasnya, puisi “Kucari Damai Abadi” ialah luahan perasaan Allahyarham yang berjiwa besar dan taat kepada Penciptanya. Puisinya memberikan inspirasi, menghidupkan jiwa-jiwa manusia walaupun selepas hampir 20 tahun ditulis, mengandungi falsafah yang membina dan merupakan prinsip hidup Allahyarham yang wajar diteladani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi