Diterbitkan pada 22 April 2025, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal memainkan peranan yang lebih besar pada peringkat antarabangsa, khususnya menerusi inisiatif kesatuan ekonomi yang terdiri daripada negara Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) dalam usaha menyebarkan bahasa dan sastera Melayu ke persada dunia.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Mohd. Anuar Haji Rethwan dalam ucapannya sempena Majlis Prapelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang berlangsung pagi tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Menurut beliau, DBP akan bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Luar Negeri bagi merealisasikan usaha ini.

“Usaha ini merupakan peluang besar untuk memperluas pengaruh bahasa kita secara global. Saya yakin DBP mampu menyumbang dengan penuh profesionalisme dan kredibiliti,” ujar beliau.

Beliau turut menekankan komitmen DBP dalam meneruskan pelaksanaan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang kini memasuki fasa penting dalam usaha menyemai budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.

Antara aktiviti utama yang dirancang termasuklah program Satu Warga Satu Buku, Jelajah Naskhah 14 Negeri, Pertandingan Baca dan Lakon serta Pertandingan Sudut Bacaan yang disasarkan kepada semua lapisan masyarakat.

“Usaha ini bukan sahaja menyokong hasrat memperkasakan budaya ilmu, malah turut menyumbang ke arah pembentukan masyarakat Malaysia MADANI yang membaca,” jelas beliau lagi.

Tambah beliau, dalam memperkukuh ekosistem bahasa dan sastera negara, peranan para penulis, pengkarya, penggiat bahasa serta penerbit tidak boleh diketepikan.

“Mereka merupakan pemegang taruh yang harus kita jaga, hargai dan raikan,” tegas beliau sambil menyeru agar hubungan yang harmoni dengan mereka sentiasa dipelihara.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru agar Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-69 yang bakal diraikan pada 22 Jun ini dimanfaatkan sebagai medan untuk menyemarakkan kecintaan rakyat terhadap bahasa dan budaya.

“Jadikan sambutan ini sebagai peluang untuk mengetengahkan peranan penting DBP dalam memartabatkan bahasa, sastera dan budaya bangsa,” ujar beliau mengakhiri ucapannya.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), YBrs. Encik Zulfa Hamzah; Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari dan YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan; ahli kumpulan Kopratasa, Sani Sudin dan Siso serta penyanyi lagu rakyat, YBrs. Encik Roslan Madun.

Majlis turut dimeriahkan dengan kehadiran ketua-ketua pengarah DBP, ketua-ketua bahagian DBP, staf-staf DBP seluruh negara, ahli-ahli Persatuan Mantan Karyawan DBP Malaysia (MEKAR) dan pengamal-pengamal media.

Seusai majlis prapelancaran berakhir, semua tetamu dijemput untuk menjamu selera di Majlis Tautan Kasih bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di perkarangan Balai Budaya Tun Syed Nasir.

Kumpulan Koir Selendang Delima mendendangkan dua buah lagu, iaitu Umpan Jinak Di Air Tenang nyanyian Ahmad Jais dan Seminggu Berhari Raya nyanyian Senario.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Roslan Madun dan Liza Abdullah mendendangkan lagu Lemak Manis.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi