Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Hikayat Merong Mahawangsa bukan sekadar cerita atau mitos sejarah tetapi merupakan teks klasik yang kaya dengan nilai semantik dan budaya serta nilai ketamadunan, identiti dan jati diri bangsa Melayu.”
Demikian menurut YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin selaku pakar linguistik dan ahli panel yang membicarakan tentang “Taksonomi Alam, Kemasyarakatan dan Budaya dalam Hikayat Merong Mahawangsa: Kajian Linguistik Korpus” dalam Majlis Wacana Merong Mahawangsa yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada pagi tadi.
Menurut YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, kajian dalam linguistik korpus telah mengesahkan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa mempunyai kedudukan sebagai sumber yang berharga bagi khazanah linguistik dan kebudayaan tradisional bahasa Melayu.
Penggunaan perkataan seperti “tanah bumi”, “buluh”, “sirih” atau “gergasi” sering digunakan dalam teks dan kerap kali disebut. Begitu juga dengan perkataan “bahtera” yang bukan hanya merujuk konteks pengangkutan di laut, tetapi penggunaannya sangat eksklusif bagi raja-raja pada waktu itu.

Tambah beliau,
Hikayat Merong Mahawangsa sebagai cerminan holistik bukan sekadar catatan sejarah himpunan cerita rakyat, sebaliknya merupakan cerminan yang menampilkan nilai budaya masyarakat Melayu tradisional.
Oleh itu, kajian ini membuktikan bahawa sastera klasik dapat diperkaya dan disokong secara empirikal melalui penggunaan linguistik korpus.
YBrs. Profesor Madya Dr. Mohamad Fadzeli Jaafar, Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia turut menyatakan bahawa penggunaan perkataan “maka” tidak banyak digunakan berbanding dengan perkataan “lalu” dalam Hikayat Merong Mahawangsa.

Dengan tajuk wacananya “Taraf dan Kuasa dalam Hikayat Merong Mahawangsa”, beliau menyatakan bahawa Hikayat Merong Mahawangsa sangat dikuasai oleh dialog untuk menyampaikan sesuatu perkara.
Teks Hikayat Merong Mahawangsa bukannya mitos semata-mata malah menampilkan gambaran tentang bahasa pertuturan sebenar masyarakat pada waktu itu.
Terdapat dua orang ahli panel lagi yang menyampaikan wacana dalam majlis tersebut, iaitu YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Hajah Asmah Haji Omar (Pakar Nahu Bahasa Melayu) dengan tajuk wacananya, “Hikayat Merong Mahawangsa: Interpretasi Teks dan Nilai Sejarah” telah mengupas bahawa kajian ini mengambil manfaat daripada bidang lain seperti geologi, arkeologi dan geomorfologi dalam sejarah.
Selain itu, ahli panel yang keempat, YBrs. Dr. Noor Hasnoor Mohamad Nor (Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya) pula menyampaikan wacana yang bertajuk “Kiasan dan Idiom dalam Hikayat Merong Mahawangsa“.
“Dalam bentuk kiasan dan idiom ini misalnya perkataan “seperti”, “bagai” dan “laksana” banyak di jumpa dalam teks Hikayat Merong Mahawangsa dan yang paling banyak ialah “seperti” iaitu sejumlah 95.8 peratus yang ada di dalam teks,” kata beliau yang mengakhiri wacana pada hari tersebut.