Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Bandar raya Kuantan, Pahang bergema dengan laungan deklamasi sajak berjudul Wira Merah : Bakti Dijunjung Kecemerlangan Dijulang nukilan Pegawai Bomba Kanan II (PBK II), Mohd Fauzi bin Jamikah bersempena dengan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 yang bertemakan “Bomba Tonggak Penyelamatan Negara” di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, hari ini.
Sajak tersebut telah dideklamasikan sendiri oleh PBK II, Mohd Fauzi bin Jamikah bersama-sama dengan Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Adam bin Ahmad dan PPgB, Syakilla binti Mohd Nasir dengan penuh bersemangat dan penghayatan. Persembahan deklamasi sajak tersebut mencetuskan suasana hiba apabila turut diiringi oleh persembahan pantomim yang menggambarkan setiap bait sajak menerusi lakonan yang menyentuh perasaan.
PBK II, Mohd Fauzi bin Jamikah yang menukilkan sajak tersebut berkata,
Sajak tersebut mengangkat kisah panjang perjuangan Wira Merah yang berakar dari generasi ke generasi. Kes kebakaran paip gas yang telah memusnahkan harta benda di Putra Heights baru-baru ini adalah antara kisah yang dibawakan dalam sajak tersebut.
Jelas beliau lagi,
Selain itu, sajak tersebut juga mengisahkan kecekalan Wira Merah dalam menghadapi bencana serta pencapaian kejayaan dalam pelbagai bidang seperti inovasi, sukan dan integriti. Sajak tersebut turut menyingkap peristiwa bersejarah seperti misi bantuan menangani jerebu 1997 dan misi mencari dan menyelamat (SAR) Turkiye 2023. Dengan semangat membara, sajak tersebut menyeru Wira Merah untuk terus melangkah, sekali gus menjadikan mereka sebagai tonggak penyelamatan negara.
Selain itu, beliau turut berkongsi cabaran dalam menghasilkan sajak tersebut, khususnya dalam memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami dan berjaya menambat hati para pengunjung yang hadir.
Saya bukanlah seorang penulis. Namun begitu, ilmu yang pernah saya peroleh daripada seorang sahabat penulis Sabah, iaitu Allahyarham Mohilis menjadi kekuatan untuk saya nukilkan sajak tersebut dengan sebaik-baiknya. Allahyarham ialah sahabat yang banyak membantu saya dalam karya sajak berkaitan dengan bomba selama ini. Kehilangan beliau amat dirasai sehingga kini dan menjadi pemangkin keyakinan untuk saya menulis sajak tersebut.
Sementara itu, sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia 2025 yang diadakan bagi menghargai jasa, keberanian dan pengorbanan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam memastikan keselamatan rakyat dan negara sentiasa terpelihara telah dimulakan dengan acara perbarisan masuk yang melibatkan seramai 252 orang anggota bomba dari seluruh Malaysia yang mewakili pelbagai fungsi bomba serta kawalan kehormatan bomba yang terdiri daripada dua orang pegawai dan 99 orang anggota berlainan pangkat.
Acara perasmian telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah. Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan sambutan ialah KDPB Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah.
Yang turut hadir ialah Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Seri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming; Ketua Pengarah JBPM, Yang Amat Setia (YAS) Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohamad dan tetamu-tetamu jemputan.


