Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kecerdasan buatan (AI) dan teknologi generatif kian mencorak landskap semasa, sekali gus menuntut inisiatif untuk membawa bahasa Melayu ke ranah digital agar kekal relevan sebagai bahasa ilmu dan komunikasi global.

Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed menekankan kepentingan usaha untuk menambah wahana bahasa Melayu ke dunia digital.

Menekankan perkara itu, Pengarah Pembinaan Bahasa dan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, berkata demikian dalam Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM): Transformasi Bahasa Melayu dalam Era Digital anjuran DBP, melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP yang berlangsung di Auditorium Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), pagi tadi.

Menurut beliau, JKTBM telah memainkan peranan penting dalam menyusun dan menerbitkan pelbagai panduan bahasa seperti Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, Panduan Penyusunan Kamus Istilah, Panduan Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi serta Glosari Istilah Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM).

Dalam ucapan alu-aluannya, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM Shah Alam, YBhg. Profesor Dr. Amer Shakir Zainol turut menegaskan bahawa bahasa adalah cerminan diri seseorang. Tambah beliau, “Keupayaan seseorang menguasai bahasa mencerminkan nilai dan jati dirinya.”

Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa) UiTM Shah Alam, YBhg. Profesor Dr. Amer Shakir Zainol berkata institusi pendidikan tersebut teguh memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat Malaysia hingga ke persada dunia.

“Justeru, UiTM melalui inisiatif Pemerkasaan Adiwangsa yang diterajui Akademi Pengajian Bahasa terus komited untuk memartabatkan bahasa Melayu agar terus berkembang pada peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya. Beliau turut menyokong kerjasama berterusan dengan DBP sebagai bukti iltizam bersama bagi memperkukuh kedudukan bahasa Melayu dalam dunia globalisasi.

Yang turut hadir dalam program ini termasuklah Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi DBP, YBrs. Encik Mohd Fadzli Tajuid; Timbalan Dekan (Akademik) Akademi Pengajian Bahasa (APB), YBhg. Profesor Madya Dr. Norhazlina Husin; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, YBrs. Dr. Muhamad Zaidi Zakaria serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Jaringan Industri, YBhg. Profesor Madya Dr. Nor Fazlin Ramli.

Sebagai rekod, ceramah umum ini bertujuan menyebarluaskan maklumat tentang fungsi, peranan dan tanggungjawab JKTBM serta memperkenalkan tokoh bahasa dan ilmuwan yang terlibat dalam pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu. Ceramah umum ini juga menjadi platform pendedahan terhadap produk digital dan kemudahan dalam talian yang berkaitan dengan korpus bahasa Melayu.

Menurut penganjur, ceramah ini diadakan dua kali setahun dan mula diperkenalkan sejak tahun 1999 di Institut Pendidikan Guru Malaysia serta institusi terpilih lain di seluruh negara. Beberapa tokoh terkemuka dalam pelbagai bidang turut dijemput menyampaikan ceramah yang menyentuh isu-isu kebahasaan dan persuratan Melayu.

JKTBM ditubuhkan pada 23 Disember 1972 hasil Pernyataan Bersama Indonesia-Malaysia yang ditandatangani di Jakarta oleh Tun Hussein Onn dan Mashuri Salleh S.H. Tujuan utama penubuhannya adalah merancang serta memperkukuh sistem bahasa Melayu dari segi ejaan, istilah, sebutan dan tatabahasa.

Jawatankuasa ini juga berperanan membuat cadangan pelaksanaan dasar-dasar bahasa kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, seiring usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai wahana ilmu, budaya dan jati diri bangsa pada era digital.

Barisan ahli jawatankuasa penganjur Ceramah Umum JKTBM: Transformasi Bahasa Melayu dalam Era Digital yang terdiri daripada staf-staf Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP.
Kredit Foto: Mohd Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi