Diterbitkan pada 16 Mei 2025, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Cerpen berjudul “Pada Takhta Tenunan Sakti, Empayar Abadi” nukilan Jaya Anak Ramba berjaya merangkul tempat pertama dalam Pertandingan Tinta Sutradara 3.0, Sayembara Penulisan Cerita Pendek anjuran Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diumumkan semalam.

Tempat kedua dimenangi oleh Faizal Sulaiman dengan cerpen berjudul “Bersaksikan Jiwa” dan tempat ketiga disandang oleh Noraini Ramli dengan cerpen berjudul “Tapak di Pasir Bogak”.

Sementara itu, hadiah sagu hati dimenangi oleh Nur Filzah Farhana dengan cerpen berjudul “Nasi Beriani Timbus”, Mudin Haikal dengan cerpen berjudul “Langit Sebuah Orkestra” dan Azam Raslan dengan cerpen berjudul “Langit Impian Ammar”.

Pemenang tempat pertama, tempat kedua dan tempat ketiga masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00, RM2,000.00 dan RM1,000.00, manakala pemenang hadiah sagu hati menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500.00 setiap seorang.

Sayembara yang mengangkat tema “Menyemai Impian, Menuai Kejayaan” tersebut telah menerima 305 penyertaan bermula 10 Januari 2025 hingga 9 April 2025 yang lalu. Kesemua karya pemenang akan dinilai oleh penganjur bagi diterbitkan dalam format buku audio.

Pertandingan yang telahpun memasuki kali ketiga penganjurannya pada tahun 2025 ini bermula pada tahun 2021 dengan nama Pertandingan Video Pendek Puisi Tinta Sutradara 2021 dan Pertandingan Video Tinta Sutradara 2.0, Sayembara Lagu Puisi pula telah dianjurkan pada tahun 2022.

Penganjuran sayembara seumpama ini bukan sahaja menggalakkan masyarakat berkarya secara kreatif mengikut tema yang telah ditetapkan, malah turut mengangkat usaha memartabatkan bahasa dan memperkenalkan pelbagai bentuk karya sastera yang boleh diterokai agar terus relevan sepanjang masa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi