Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Sebanyak 21 orang pelajar Kursus SCSH 2163 Seksyen 519 Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia telah melaksanakan program literasi digital bertajuk “Klik Bijak Desa: Membimbing Komuniti Desa ke Arah Celik Digital” yang bertujuan meningkatkan pengetahuan dan celik digital dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Program ini telah diadakan di Balai Raya Kampung Olak Sepam, Pagoh, Muar pada 17 Mei 2025 dan diketuai oleh pensyarah pengiring, iaitu YBrs. Dr. Julaina Nopiah selaku penasihat program. Program kemasyarakatan ini melibatkan penyertaan sebanyak 28 orang penduduk kampung merangkumi golongan dewasa yang berusia sekitar 31 tahun hingga 59 tahun serta warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
Program yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini turut memberikan peluang kepada para pelajar berinteraksi secara langsung dengan masyarakat desa dan menyampaikan ilmu digital secara bersemuka dalam suasana santai dan berinformasi. Dua aktiviti utama telah dijalankan, iaitu Sedia Klik dan Jejak Digital. Kedua-dua aktiviti ini bertujuan untuk menilai tahap pengetahuan asas penduduk kampung terhadap penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian.

Program ini penting dalam usaha memperkasakan masyarakat luar bandar bagi menghadapi cabaran era digital. Dalam dunia yang semakin bergantung terhadap teknologi, jurang digital antara masyarakat bandar dengan desa perlu dikurangkan agar tidak ada golongan yang tercicir dari segi akses terhadap maklumat, perkhidmatan dalam talian serta kemudahan urusan harian seperti bayaran bil, urusan kewangan, dan semakan bantuan kerajaan.
Program seperti Klik Bijak Desa dapat membantu komuniti kampung lebih celik teknologi, seterusnya memudahkan kehidupan seharian mereka dan meningkatkan keyakinan terhadap akses perkhidmatan digital secara selamat dan berkesan.
Sementara itu, Ketua Kampung Olak Sepam, Encik Yaakob Abdullah menyambut baik usaha murni yang dilaksanakan melalui program ini. Beliau berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan dengan pelbagai aktiviti yang lebih berkesan pada masa akan datang.
Kami sentiasa menyokong usaha sama melalui program seperti ini yang dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan digital kepada masyarakat kampung. Ilmu seperti ini semakin penting dalam kehidupan seharian pada masa ini.
Program ini membina asas ke arah komuniti desa yang lebih berdikari, berdaya saing dan bersedia menghadapi transformasi digital negara. Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan tahap celik digital dalam kalangan penduduk luar bandar, malah memperkukuh hubungan antara universiti dengan komuniti setempat dalam usaha ke arah masyarakat yang inklusif dan celik teknologi.