Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 15:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi Malaysia memainkan peranan yang penting dalam pembentukan jati diri dan identiti bangsa. Namun, dalam era globalisasi dan kemajuan teknologi, bahasa Melayu semakin terancam kesan daripada pengaruh yang pelbagai yang menjadi musuh dalam selimut terhadap bahasa kebangsaan itu sendiri. Hal ini termasuklah pengaruh media sosial, media massa, bahasa pempengaruh, dan penyampai radio yang sesetengahnya menyalahgunakan istilah dan mempopularkan bahasa rojak. Fenomena ini bukan sahaja mengancam kemurnian bahasa Melayu tetapi juga menghakis jati diri bangsa.

Kemerosotan penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti bukan sahaja memberikan kesan terhadap bahasa itu sendiri, malah identiti nasional. Bahasa Melayu menjadi tonggak utama yang menyatukan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya. Jika bahasa ini terus dipinggirkan, hal ini akan mencetuskan krisis identiti dalam kalangan warganegaranya. Tanpa penguasaan dan penggunaan bahasa kebangsaan yang tegar lagi dihormati, sukar untuk mengekalkan perpaduan nasional dan semangat kebangsaan. Bahasa Melayu bukan sekadar milik orang Melayu, tetapi milik semua rakyat Malaysia. Kehilangan bahasa ini akan merugikan semua pihak dan melemahkan jati diri negara.

Cabaran Bahasa Kebangsaan

Hari ini atas kemajuan aplikasi di media sosial mahupun media massa, tanpa sedar bahasa Melayu kian terkebelakang dan semakin dirosakkan melalui pengunaan bahasa yang tidak menggunakan istilah yang betul, struktur ayat yang tidak mengikut hukum tatabahasa, malah sesetengahnya hilang nilai kesantunan di dalamnya.  Kemunculan pelantar media sosial seperti TikTok turut memberikan kesan besar terhadap penggunaan bahasa Melayu. Istilah yang biasa digunakan dalam medium ini termasuklah chin chot, wasabi, bapak ah, best giler, dan korang. Hal ini sangat membimbangkan apabila penggunaan istilah tersebut sangat berleluasa dan dituturkan tanpa ada rasa tanggungjawab untuk melestarikan keaslian dan keindahan bahasa Melayu itu sendiri.

Kisah benar yang diceritakan oleh seorang pelajar jurusan Bahasa Melayu dari Tokyo University of Foreign Studies, Jepun benar-benar memberikan tamparan kepada penulis sebagai penutur asli bahasa Melayu. Beliau berpendapat bahawa bahasa Melayu kurang popular atau sedikit terkebelakang dalam permintaan untuk mempelajari sesuatu bahasa berbanding dengan bahasa Indonesia. Walaupun  bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi negara ini, namun warganegaranya sering bertutur dalam bahasa Inggeris malah kebanyakan mereka menggunakan bahasa rojak, iaitu menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara bersama.

Kisah kedua pula diceritakan oleh pelajar asing yang datang ke negara ini untuk mengukuhkan penguasaan bahasa Melayu di salah sebuah universiti awam. Menurut beliau, kesukaran yang dihadapi adalah apabila rata-rata warga universiti bertutur dalam bahasa Inggeris termasuk rakan sebiliknya. Oleh itu, proses untuk beliau fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu agak lambat berikutan kurangnya amali berkomunikasi dalam bahasa Melayu.

Berdasarkan dua kisah yang dinyatakan menyebabkan kita tertanya-tanya mengapakah situasi seperti ini berlaku dan apakah masa depan bahasa Melayu semakin gelap? Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan lingua franca di Malaysia telah lama menjadi simbol perpaduan dan identiti nasional. Namun, dalam era globalisasi yang semakin mencabar, masa depan bahasa ini kelihatan suram. Satu daripada punca utama yang membawa kepada kemerosotan ini adalah kurangnya jati diri warganegara terhadap penggunaan dan penghargaan terhadap bahasa Melayu. Sikap acuh tidak acuh dan kurangnya kesedaran terhadap kepentingan mempertahankan bahasa kebangsaan ini boleh membawa kepada kepupusan nilai budaya dan identiti nasional.

Satu daripada tanda yang jelas menunjukkan masa depan yang gelap bagi bahasa Melayu adalah penggunaannya yang semakin berkurangan dalam komunikasi harian. Kebanyakan warganegara terutama generasi muda lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa rojak dalam komunikasi seharian mereka. Fenomena ini bukan sahaja berlaku di bandar besar, malah semakin merebak ke kawasan luar bandar. Bahasa Melayu sering dianggap sebagai bahasa kedua atau ketiga dan penggunaannya terhad bagi situasi formal sahaja seperti di sekolah atau pejabat.

Keadaan ini bertambah rumit disebabkan oleh pengaruh media sosial dan teknologi maklumat yang kebanyakannya didominasi oleh bahasa Inggeris. Generasi muda lebih terdedah terhadap kandungan dalam bahasa asing menyebabkan mereka kurang berminat untuk menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan penuh rasa bangga. Jika trend ini berterusan, tidak mustahil bahasa Melayu akan kehilangan fungsinya sebagai alat komunikasi utama dalam masyarakat Malaysia.

Pelantar media termasuk radio dan televisyen memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan tingkah laku masyarakat, terutama dari segi penggunaan bahasa. Dalam konteks Malaysia, terdapat trend yang membimbangkan apabila media massa seolah-olah bersetuju mempromosikan istilah yang salah seperti penggunaan perkataan syatuu bagi menggantikan perkataan “satu”. Malah, ada juga penyampai radio menyebut perkatan lanje bagi menggantikan perkataan sebenar “belanja”, gitew bagi perkataan “begitu”. Mungkin penggunaan tersebut dilihat sekadar hiburan untuk memperlihatkan penggunaan bahasa yang manja, tetapi impaknya amat besar bagi pendengar khususnya generasi muda yang mudah menerima apa-apa sahaja perkara yang menyeronokkan.

Selain itu, penciptaan lagu yang bercampur antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris juga semakin kerap kedengaran. Hal ini memberikan kesan negatif terhadap perkembangan bahasa Melayu dan identiti kebangsaan. Walaupun hal ini mungkin dilihat sebagai kreativiti seni, namun sedikit banyak tetap memberikan kesan negatif terhadap perkembangan bahasa Melayu. Tambah parah, apabila lagu rasmi dalam sesuatu organisasi juga menggabungkan dua bahasa ini. Masyarakat harus sedar bahawa bahasa Melayu merupakan lambang identiti nasional. Apabila bahasa ini digunakan secara bercampur aduk dalam sesebuah lagu, hal ini akan mengaburkan identiti bahasa itu sendiri. Golongan pendengar, terutama generasi muda, mungkin sukar untuk membezakan penggunaan yang betul antara bahasa kebangsaan dengan bahasa asing.

Selain isu dan permasalahan yang dinyatakan tadi, sikap warganegara yang tidak menghargai bahasa Melayu juga menjadi punca utama kemerosotannya. Kebanyakan mereka menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa yang ketinggalan zaman dan tidak relevan dalam dunia moden. Mereka lebih berbangga terhadapa penggunaan bahasa asing khususnya bahasa Inggeris kerana dianggap lebih bergaya dan berprestij.

Sikap ini mencerminkan kurangnya jati diri dan rasa cinta terhadap bahasa Melayu itu sendiri. Bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga lambang identiti dan warisan budaya. Apabila warganegara tidak lagi menghargai bahasa kebangsaan negaranya, mereka sebenarnya sedang melupakan akar budaya dan sejarah bangsa sendiri. Jika tiada usaha untuk memupuk rasa sayang terhadap bahasa ini, hal ini akan terus terpinggir dan risiko kepupusannya amat tinggi dalam dunia globalisasi.

Tindakan segera yang lebih bertanggungjawab perlu dijayakan oleh semua pihak. Media massa dan platform digital perlu memainkan peranan penting dalam mempopularkan bahasa Melayu. Kandungan kreatif dan menarik dalam bahasa Melayu boleh dihasilkan untuk menarik minat generasi muda. Media massa pula wajib mengutamakan penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan betul dalam semua siaran, termasuk lagu dan iklan. Ketetapan ini akan membantu mengekalkan standard bahasa dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat. Pihak media juga perlu berwaspada apabila mempromosikan istilah yang salah kerana hal ini akan mengurangkan kualiti bahasa dan memberikan gambaran bahawa kesalahan dalam bahasa adalah sesuatu yang boleh diterima.

Kreativiti dalam seni termasuk muzik, tidak seharusnya mengorbankan integriti bahasa. Promosi yang berlebih-lebihan kepada individu yang menggunakan bahasa “manja” yang ternyata salah walaupun ramai pengikutnya perlulah dielakkan. Kelebihan memiliki pengikut yang ramai perlulah dimanfaatkan dengan menyebarkan perkara yang lebih bertanggungjawab termasuklah penggunaan bahasa Melayu yang betul.

Intihanya, setiap warganegara perlu menyedari bahawa mereka bertanggungjawab dalam memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu. Rasa bangga dan cinta terhadap bahasa ini harus dipupuk sejak kecil. Bahasa Melayu adalah warisan yang tidak ternilai dan hanya dengan usaha kolektif kita dapat memastikan bahasa tersebut terus hidup dan berkembang.

Masa depan bahasa Melayu bergantung pada sikap dan tindakan kita sebagai warganegara. Jika kita terus mengabaikan bahasa ini, bahasa tersebut akan berhadapan dengan risiko kepupusan yang serius. Namun, melalui kesedaran dan komitmen yang tinggi, kita masih boleh menyelamatkan bahasa Melayu dan memastikannya terus kekal menjadi kebanggaan negara. Marilah kita bersama-sama mempertahankan bahasa Melayu kerana bahasa kebangsaan ini bukan sekadar sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai lambang jati diri dan perpaduan nasional. Usahlah kita menjadi punca bahasa Melayu mengemis di bumi sendiri.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi