Diterbitkan pada 22 Mei 2025, 20:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Majlis Pelancaran Hadiah Bahasa Public Bank – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan tema, “Pembangunan Lestari melalui Nilai Teras Malaysia MADANI yang Mencakupi Bidang Ekonomi, Masyarakat dan Alam Sekitar” buat julung-julung kali telah berlangsung dengan jayanya di Hotel Hilton Kuala Lumpur petang ini.

Majlis anjuran Public Bank Berhad dengan kerjasama DBP ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim sebagai satu daripada bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap karya dalam bahasa Melayu yang berkualiti dan bermutu tinggi dari segi bahasa dan isinya yang dihasilkan oleh pelajar dari peringkat rendah hingga peringkat universiti.

Menurut YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, langkah berani institusi kewangan seperti Public Bank dalam mendukung perjuangan memperkasakan bahasa kebangsaan merupakan ciri-ciri teladan yang unggul.

Ujar beliau,

Hal ini membuktikan bahawa kemajuan ekonomi dan jati diri bangsa bukan sahaja boleh, malahan harus bergerak seiring.

DBP pula kekal sebagai tiang seri kepada perjuangan ini bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa tamadun.

 

YBhg. Dato’ Sulaiman ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam majlis pelancaran tersebut di Hotel Hilton, Kuala Lumpur.

Terdahulu dalam ucapan pembukaan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Public Bank Berhad, Yang Berbahagia (YBhg.) Dato’ Sulaiman bin Abdul Manap  berkata bahawa Hadiah Bahasa Public Bank – DBP merupakan suatu program pengiktirafan yang berprestij bagi meraikan karya dalam bahasa kebangsaan yang bermutu tinggi, sama ada dari aspek bahasa, kandungan mahupun nilai sosial.

Tambah beliau,

Ini merupakan cara kami mengiktiraf kecemerlangan dan pada masa yang sama memupuk apresiasi terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Kami juga percaya bahawa kemajuan sebenar bukan hanya terletak pada pencapaian ekonomi atau keuntungan dalam dunia korporat semata-mata, tetapi juga pada sumbangan kita dalam memperkasakan masyarakat. Bahasa dan pendidikan merupakan tunjang utama usaha tanggungjawab sosial korporat kami (CSR).

YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menyatakan hasrat bakal menyebarluaskan dan membukukan hasil karya bakal pemenang Hadiah Bahasa 2025.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, pembangunan lestari melalui nilai teras Malaysia MADANI akan menjadi asas penilaian bukan sahaja terhadap buku bagi kategori umum, malah untuk penulisan esei, rencana atau karangan dalam beberapa kategori terbuka kepada pelajar sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.

Ini (asas penilaian) tentunya meliputi isu-isu dalam bidang ekonomi, masyarakat, alam sekitar dan sebagainya.

Melalui Hadiah Bahasa Public Bank – DBP ini, kita berharap agar pelajar dapat benar-benar memahami pelbagai isu rakyat, simpati dan empati mereka dalam upaya memaknai pembangunan lestari Malaysia MADANI,” ujar beliau lagi.

Nilai hadiah dan kategori bagi Hadiah Bahasa Public Bank – DBP yang dilancarkan ini adalah seperti yang berikut:

(i) Kategori A: Hadiah Karya (Buku)

5 hadiah bernilai RM10,000.00 setiap satu, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

(ii) Kategori B: Penulisan Esei (Institusi Pengajian Tinggi)

5 hadiah bernilai RM1,700.00 setiap satu, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

(iii) Kategori C: Penulisan Esei (Prauniversiti)

5 hadiah bernilai RM1,300.00 setiap satu, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

(iv) Kategori D: Penulisan Esei (Sekolah Menengah)

10 hadiah bernilai RM1,000.00 setiap satu, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

(v) Kategori E: Penulisan Esei (Sekolah Rendah)

15 hadiah bernilai RM750.00 setiap satu, hadiah iringan dan sijil penghargaan.

Garis panduan, syarat dan borang penyertaan bagi program ini boleh diakses melalui pautan https://shorturl.at/hDWPy

Sebagai makluman, penyertaan Hadiah Bahasa Public Bank – DBP dibuka sehingga 30 Jun 2025 (Isnin).

Yang turut hadir dalam majlis tersebut termasuklah Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat (YB) Wong Kah Woh; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Public Bank, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Dr. Tay Ah Lek; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, YBrs. Puan Chang Siew Yen; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa bin Hamzah; dan Pemenang Hadiah Bahasa Tahun 1985, YB Senator Profesor Emeritus Dato’ Seri Dr. Awang bin Sariyan.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi