Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSemporna – Sebanyak 15 buah papan tanda pantun berjaya dipasang di pulau-pulau yang berada di bawah penguatkuasaan Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan yang merupakan antara tumpuan pelancong di daerah Semporna, semalam.

Lima lokasi yang terlibat ialah Pulau Bohey Dulang, Bukit Bohey Dulang, Pulau Mantabuan, Pulau Sibuan dan Pulau Sipadan yang mana pulau tersebut bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan tumpuan pelancong tetapi kini turut menampilkan sentuhan nilai estetika bahasa dan kearifan tempatan melalui pantun yang terpilih.

Projek ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Taman-Taman Sabah (TTS) dan Pertubuhan Kebudayaan Bajau Semporna (PEKAS) yang bertujuan menyemarakkan semula penggunaan pantun sebagai khazanah sastera Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat tempatan dan para pelancong.
Setiap papan tanda menampilkan serangkap pantun yang dipilih melalui Cabaran Cipta Pantun bertemakan pulau-pulau di Taman Marin Tun Sakaran dan Taman Pulau Sipadan yang mencerminkan keindahan alam dan kearifan tempatan masyarakat di Sabah. Reka bentuk papan tanda turut diletakkan motif etnik Bajau Semporna yang merupakan etnik terbesar di Semporna.
Projek ini diharap dapat memupuk rasa cinta terhadap bahasa dan budaya, di samping memperkaya pengalaman pelancong yang mengunjungi kawasan tersebut. Pantun bukan sekadar seni kata, tetapi warisan yang menghubungkan kita dengan alam dan sejarah.
Pemasangan 15 buah papan tanda pantun tersebut telah dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Sri Nasir Tun Sakaran sewaktu Malam Santai Seni Semporna.
Inisiatif seperti ini menjadi bukti bahawa pelestarian warisan budaya boleh bergerak seiring dengan pembangunan pelancongan yang mampan dan beridentiti.