Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 20:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelancaran Edisi Karya Malar Segar Penerima Anugerah S.E.A. Write Award bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 hari ini menjadi mercu tanda penting dalam usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memperkasakan budaya membaca dengan bahan bacaan berbahasa Melayu yang berkualiti tinggi.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu menyaksikan sebanyak 28 judul terpilih hasil karya 28 penerima Anugerah S.E.A. Write Award dipilih untuk diterbitkan semula di bawah inisiatif khas DBP, menandakan penghargaan terhadap karya sastera Melayu yang terbukti nilai dan ketahanannya merentas zaman.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah yang mewakili Ketua Pengarah DBP menyampaikan ucapan alu-aluan dengan menegaskan bahawa usaha ini selari dengan tema PBAKL tahun ini, “Buku; Membaca, Memimpin” yang mengangkat peranan ilmu dan keintelektualan dalam membina keunggulan bangsa.

“Memenuhi aspirasi dalam mencapai kesejahteraan intelektual memerlukan DBP tampil mengetengahkan buku-buku yang berkaliber dan berwibawa seperti buku yang berkonsepkan edisi Malar Segar ini,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah, yang mewakili Ketua Pengarah DBP menegaskan bahawa Edisi Karya Malar Segar Penerima Anugerah S.E.A. Write Award dapat memperkasakan budaya membaca dengan bahan bacaan berkualiti tinggi.

Tambah beliau, jika edisi 2024 menghimpunkan karya sasterawan negara, maka edisi tahun ini memberikan tumpuan terhadap karya para penerima Anugerah S.E.A. Write Award, anugerah yang mengiktiraf pencapaian tertinggi sasterawan serantau.

Menurut beliau, karya yang dipilih sebagai malar segar telah melalui proses pengukuhan nilai dan kematangan pemikiran yang tidak hanya relevan pada zamannya, tetapi terus hidup dan bermakna untuk generasi masa ini dan akan datang.

“Karya ini sememangnya menjadi khazanah negara yang amat berharga untuk dibaca dan dihayati sepanjang zaman,” ujar beliau lagi.

DBP, katanya, akan terus komited mengenal pasti dan menerbitkan karya-karya yang memenuhi ciri-ciri malar segar agar masyarakat sentiasa memiliki akses kepada bacaan yang ideal dan fleksibel sebagai santapan minda.

Majlis ini turut dihadiri oleh tokoh sastera tanah air Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari, Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, penerima Anugerah S.E.A. Write Award, para karyawan DBP serta masyarakat umum.

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi