Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Akademi Pengajian Bahasa (APB), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam telah berjaya menganjurkan Program Pengajaran Kolaboratif dengan tajuk “Pembelajaran Mandarin: Ke Arah Standard Global (HSK)” dalam bahasa Melayu.
Puan Yong Ying Mei, iaitu seorang tenaga akademik dari Pusat Bahasa Moden, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah yang juga merangkap Pengarah Confucius Institute Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (CI UMPSA) diundang khas sebagai pembimbing dalam program yang dianjurkan secara maya.
Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan lebih daripada 200 orang pelajar Mandarin UiTM, Shah Alam telah menyertai ceramah tersebut yang menggunakan bahasa Melayu bagi menimba ilmu tentang kaedah pembelajaran Mandarin yang dapat membawa diri mereka ke arah standard global melalui HSK, iaitu Peperiksaan Profisiensi Bahasa Mandarin Global.
Profesor Madya Dr. Low Hiang Loon selaku pengerusi majlis telah menyampaikan ucapan alu-aluan dalam program tersebut. Profesor Madya Dr. Low memberikan galakan kepada pelajar untuk memahami dengan lebih lanjut tentang peperiksaan HSK, HSKK dan BCT serta menduduki peperiksaan HSK bagi meningkatkan daya saing mereka pada masa hadapan.
Puan Yong Ying Mei dalam ceramahnya telah memberikan fokus untuk memperkenalkan peperiksaan HSK, HSKK dan BCT, tujuan peperiksaan, format peperiksaan, pendaftaran peperiksaan dan kelas bimbingan HSK dalam bahasa Melayu.
Puan Yong Ying Mei juga telah berkongsi informasi dan gambar pelajar UMPSA yang telah menyertai aktiviti kem musim panas di Universiti Hebei. Pelajar tersebut telah berjaya mendapat biasiswa jangka pendek untuk belajar dan menghayati budaya Cina di China setelah mereka lulus dengan cemerlang HSK Tahap 2 yang dikendalikan di Pusat Ujian HSK di Malaysia.
Dalam sesi soal jawab, pelajar telah mengemukakan soalan dari pelbagai aspek. Puan Yong Ying Mei telah menjawab soalan yang berkaitan dengan pendaftaran peperiksaan, keadaan pembelajaran bahasa Mandarin di China, permohonan biasiswa dan sebagainya untuk pelajar.
Pada penghujung majlis, dalam ucapan penutup, Profesor Madya Dr. Low Hiang Loon sekali lagi memberikan galakan kepada pelajar UiTM untuk mengambil cabaran HSK agar mereka juga berpeluang untuk merebut biasiswa yang ditawarkan oleh negara China untuk pelajar Mandarin sebagai bahasa asing di Malaysia.



