Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBeijing – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) komited dan penuh iltizam dalam menyokong tenaga pengajar dari universiti di China dari aspek pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Demikian maklum balas Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami bin Jahari yang mengetuai delegasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia dalam Sesi Dialog Ketua Pengarah DBP dan Tenaga Pengajar Bahasa Melayu Institusi Pengajian Tinggi China yang diadakan di Perpustakaan, Beijing Foreign Studies University, Beijing, China.

Antara perkara yang dibincangkan dalam sesi dialog ini termasuklah isu kekurangan tenaga pengajar asing yang pakar dalam bahasa Melayu dan kekurangan bahan pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu seperti kamus dan buku teks.
Selain itu, skop perbincangan juga memfokuskan perihal pertukaran pelajar dan pensyarah antara negara Malaysia dengan China untuk menambah kemahiran berbahasa Melayu dan berkongsi pengalaman serta ilmu berbahasa Melayu termasuklah mempelajari adat dan budaya antara negara.
Sebagai rumusan bagi sesi dialog ini, Ketua Pengarah DBP telah memberikan maklum balas positif berkaitan dengan pembekalan bahan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang akan disalurkan secara berperingkat kepada universiti yang menawarkan pengajian bahasa Melayu di China.
Antara maklum balas lain termasuklah dengan mengadakan lawatan sambil belajar ke DBP serta tambahan aktiviti yang dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu pelajar universiti di China dengan kerjasama DBP.
Ujar beliau,
Selain pertukaran pelajar yang diadakan dengan universiti-universiti di Malaysia seperti Universiti Malaya dan Universiti Sains Malaysia, saya turut mencadangkan lawatan sambil belajar diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tempoh seminggu hingga dua minggu bagi mempelajari bahasa Melayu dan budaya Malaysia.
DBP juga akan mengadakan perbincangan lanjut berkaitan dengan penghantaran kepakaran dari DBP untuk mengajar dan memperkukuh penguasaan bahasa Melayu pensyarah dan pelajar universiti di China.
Sesi dialog ini telah dihadiri oleh pensyarah-pensyarah dari 13 buah universiti dari serata China seperti Communication University of China, Guangxi Minzu University of Nationalities dan Tianjin Foreign Studies University.