Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebagai tiang seri bangsa dan memiliki persada yang kukuh, bahasa Melayu menjadi tonggak utama bagi membina semangat kesatria dan menyemarakkan obor patriotisme dalam kalangan rakyatnya.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial Syed Ahmad yang juga merangkap Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, makna kata “bahasa” merangkumi perilaku dan budi pekerti pada masa dahulu, kini harus dilihat sebagai instrumen utama dalam pembentukan semangat kebangsaan.
Menurut beliau,
‘Bahasa Jiwa Bangsa’ telah lama diangkat sebagai moto DBP sejak era awal penubuhannya pada Jun 1956. Hal ini perlu difahami dalam konteks yang lebih mendalam dan menyeluruh. Bangsa yang dimaksudkan bukanlah dalam pengertian ras, sebaliknya sebagai suatu ‘nation’.
Demikian pendirian beliau dalam program Wacana Tokoh: Teguh Bahasa di Tanah Berdaulat di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, semalam.

Tambah beliau lagi, pembentukan bangsa dan kerajaan merangkumi beberapa fungsi utama yang terdiri daripada tiga fungsi input, iaitu sosialisasi politik dan pengrekrutan, pengartikulasian kepentingan, dan penyatuan kepentingan komunikasi sebagai fungsi truput. Selain itu, terdapat tiga fungsi output yang melibatkan penggubalan, pelaksanaan dan pemutusan undang-undang.
Fungsi truput komunikasi mempunyai tiga elemen, iatu penyampai (sender), perantara (medium) dan penerima (recipient) untuk menjana tiga lagi fungsi output; penggubalan undang-undang dalam bentuk legislatif, pelaksanaannya dalam bentuk eksekutif dan pemutusannya dalam bentuk judisiari.
Pengartikulasian kepentingan dan penyatuannya boleh berlaku secara ‘associational’ dalam bentuk perundingan atau ‘institutional’ seperti yang diamalkan oleh beberapa negara berasaskan pentadbiran ketenteraan, melalui kaedah anomik, iaitu kaedah luar jangka dan huru-hara.
Malah, beliau menegaskan bahawa negara Malaysia tidak terlepas daripada proses itu, khususnya selepas peristiwa 13 Mei 1969 yang menyaksikan berlakunya perubahan besar dalam konteks pengartikulasian dan penyatuan kepentingan.
Peristiwa itu telah menuntut pendekatan yang lebih serius dalam usaha merangka strategi penyatuan nasional, termasuk pengukuhan semula terhadap Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Langkah ini turut disusuli dengan pengisytiharan Rukun Negara yang mengandungi lima objektif utama, iaitu mencapai perpaduan, memelihara cara hidup demokratik, membentuk masyarakat yang adil, menjamin cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaan serta membina masyarakat yang menggunakan sains dan teknologi moden.
Lima tahun yang pertama selepas penggubalan Rukun Negara, tema hari kebangsaan pada tahun 1970 ialah ‘Muhibah dan Perpaduan’, pada tahun 1971, iaitu ‘Masyarakat Demokratik’, tahun 1972 ‘Masyarakat Adil’ dan pada tahun 1973 pula ialah ‘Masyarakat Berkebudayaan’ yang memperlihatkan tema yang dipilih berdasarkan objektif Rukun Negara.
Menyedari realiti yang berlaku pada hari ini, penghayatan terhadap Rukun Negara kini semakin terpinggir kerana kurang diberikan penegasan, sekali gus melemahkan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai tiang seri yang kukuh dalam pembentukan jati diri bangsa Malaysia.
Dalam inti pati perkongsiannya juga, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan masyarakat yang sekadar melafazkan Rukun Negara dalam acara rasmi tanpa memahami matlamat sebenar di sebaliknya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa bangsa yang utuh dibangunkan daripada empat elemen utama, iaitu bahasa yang sama, ras yang sama, agama yang sama dan kesedaran nasib politik yang sama.
Kita boleh ada satu bahasa, daripadanya kita boleh mewujudkan satu budaya, dan satu kesedaran nasib politik, iaitu kesedaran bahawa kita semua menghadapi satu nasib politik yang sama untuk berhadapan dengan negara lain kerana kita mempunyai kepentingan dari segi dasar luar.
YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Syed Danial turut menyeru rakyat agar bersikap inkuisitif terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk terus berkembang menerusi penyerapan pelbagai kosa kata daripada bahasa lain seiring dengan peredaran zaman.
Katanya, fenomena yang berlaku dalam bahasa Melayu ini mencerminkan sifat saling mengukuh atau dikenali sebagai mutualy reinforcing the strength and the usefulness.
“Jika kita benar-benar memahami makna ini, tidak timbul soal pertelingkahan atau rasa enggan dalam kalangan bukan Melayu untuk mempelajari bahasa kebangsaan,” katanya sambil menegaskan bahawa penjanaan nasionalisme dan semangat kebersamaan harus bermula daripada penghayatan bahasa.
Kalau kita tidak tahu, kita tidak mungkin faham, kalau kita tidak faham, kita tidak mungkin sedar, kalau kita tidak sedar, kita tidak mungkin insaf, di mana kita salah, di mana kita betul. Kalau salah kita hentikan, kalau betul kita teruskan untuk menjana semangat kesatria bangsa.
Dalam pada itu, majlis wacana tersebut telah dipengerusikan oleh Sasterawan Negeri Sarawak ke-6, iaitu YBrs. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi.

Yang turut hadir memeriahkan majlis wacana tersebut termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa dan Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP.
