Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 31 Mei 2025, 12:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sungai Besi – Semangat Hang Tuah menjadi sumber inspirasi kepada para pejuang bahasa tanah air dalam usaha menjunjung tinggi serta memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam negara.

Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan berkata, perjuangan golongan ini bukanlah satu penolakan terhadap kepentingan bahasa Inggeris, sebaliknya bertitik tolak daripada tekad mengembalikan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa rasmi dan bahasa pemersatuan.

Menurut beliau, semangat Hang Tuah tidak pernah meminggirkan kedudukan bahasa Melayu, meskipun diketahui tokoh ini menguasai hampir 10 bahasa asing demi kepentingan ilmu dan diplomasi.

Hal ini demikian kerana pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) serta polemik Program Dwibahasa (DLP) beberapa tahun lalu pernah mencetuskan keresahan dalam kalangan tokoh dan pejuang bahasa.

YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan ketika menyampaikan syarahan beliau.

“Bahasa Melayu sebenarnya memerlukan sensitiviti semua pihak agar terus dilihat relevan dalam kehidupan seharian,” ujarnya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Menelusuri Masa Depan Bahasa Melayu: Isu dan Cabaran Semasa di Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Khamis lalu.

Beliau selaku profesor adjung di Pusat Bahasa UPNM menjelaskan bahawa bahasa Melayu sedang berhadapan dengan kemerosotan dari aspek taraf dan mutu penggunaannya dalam beberapa dekad kebelakangan ini.

Ujar beliau,

Kemerosotan aspek taraf ini berlaku akibat penyempitan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh undang-undang.

Kemerosotan aspek mutu bahasa pula disebabkan kurang pekanya sebilangan anggota masyarakat, terutama mereka yang bertanggungjawab dalam bidang rasmi penggunaan bahasa Melayu; bentuk bahasa Melayu yang baku juga diabaikan serta ragam rasmi dalam bidang pentadbiran, penyiaran dan pendidikan.

DBP terus berusaha mempertahankan serta melaksanakan pelan strategiknya agar bahasa Melayu yang lebih baik dapat digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat di negara kita.

Beliau juga menegaskan bahawa DBP menaruh harapan yang tinggi terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memainkan peranan secara lebih aktif, memandangkan pihak tersebut mempunyai kuasa perundangan bagi memastikan bahasa kebangsaan mendapat tempat yang sewajarnya dalam ruang awam.

Mengulas lanjut tentang isu bahasa kebangsaan yang berlaku sebelum ini, PBT disaran agar lebih peka terhadap aspek penggunaan bahasa berkenaan, khususnya dalam kelulusan iklan dan papan tanda di kawasan pentadbiran masing-masing.

Malah, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sikap segelintir penjawat awam atau individu yang masih tidak dapat membezakan antara penggunaan bahasa kebangsaan dengan bahasa asing dalam konteks urusan rasmi negara.

Dalam pada itu, turut diadakan acara penyerahan draf skrip drama pentas berjudul Umar al-Malqan hasil karya YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan kepada Pengarah Penerbit UPNM, YBrs. Profesor Madya Dr. Fakroul Ridzuan Hashim.

Drama pentas Umar al-Malqan mengisahkan perjuangan seorang perwira Melayu bernama Umar menentang penjajahan Portugis dan Belanda di Melaka pada kurun ke-17, selain berhasrat untuk mewariskan semangat perjuangan itu kepada dua orang anak lelakinya yang kemudiannya turut menyertai siri peperangan menentang penjajah di tanah air.

Penyerahan draf skrip drama pentas berjudul Umar al-Malqan karya YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan (kanan) kepada Pengarah Penerbit UPNM, YBrs. Profesor Madya Dr. Fakroul Ridzuan Hashim (tengah).

Terdahulu, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor UPNM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Haji Ahmad bagi membincangkan peranan institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan bahasa dan budaya kebangsaan, selain kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu selaras dengan aspirasi kesarjanaan nasional dan hala tuju Pelan Strategik UPNM30.

YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan (kanan) ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Naib Canselor UPNM, YBhg. Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Haji Ahmad.

Yang turut hadir dalam syarahan tersebut termasuklah Pengarah Pusat Bahasa UPNM, YBrs. Profesor Dr. Jowati Juhary; Timbalan Pengarah Akademik dan Prasiswazah, YBrs. Leftenan Kolonel Hilmi Azani Husain; Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pascasiswazah, YBrs. Dr. Erda Wati Bakar; dan Profesor Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Wan Hashim Wan Teh.

Barisan tetamu kehormat dan para hadirin yang hadir dalam program Syarahan Sasterawan Negara di Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim, UPNM.
YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar bin Rethwan ketika meninjau reruai Penerbit ASWARA.
Kredit Foto: Zulhilmi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi