Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 771 judul buku berbahasa Melayu telah berjaya diterbitkan menerusi dana Penggerak Industri Buku Negara (PIBN) sejak dana tersebut diperkenalkan, melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM7 juta.
Dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini sahaja, hampir 80 judul buku telah diluluskan pembiayaannya dengan nilai kira-kira RM600,000.
Perkara tersebut diumumkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami bin Jahari dalam Sesi Dialog dan Majlis Penyerahan Dana PIBN yang berlangsung petang tadi.

Beliau menjelaskan bahawa dana ini memainkan peranan penting dalam menyokong proses penerbitan buku bermula dari penyelidikan, penulisan, penyuntingan sehinggalah penyediaan ilustrasi.
Dana PIBN merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkaya dan memperbanyak penerbitan buku berbahasa Melayu, bukan hanya oleh DBP tetapi juga penerbit lain di seluruh negara. Melalui promosi yang giat dijalankan, dana ini diharap dapat dimanfaatkan oleh lebih banyak pihak.
Sebagai urus setia dana ini, DBP giat menjalankan promosi melalui pelbagai wahana termasuk taklimat khas kepada penerbit dan persatuan serta program jerayawara sempena pesta buku dan acara sastera utama di seluruh negara.
“Kursus yang berkaitan dengan penulisan dan penerbitan turut dianjurkan secara percuma bagi membina kapasiti para pemain industri,” ujar beliau.
Majlis hari ini turut meraikan sepuluh penerima dana PIBN paling aktif yang telah menghasilkan pelbagai judul buku berbahasa Melayu sejak 2024 hingga Mei 2025.
Antara penerima dana PIBN yang hadir termasuklah wakil daripada Sensori Fun Ventures; Jagat Media PLT; Menuju Puncak Supply & Services; Penerbitan Kata Pilar (M) Sdn. Bhd.; Koperasi Penulis Nasional Berhad (KOPENA); lJT Publishing House Sdn. Bhd.; Kaya Cipta Sdn. Bhd.; VOA Media Network; MZ Edu Publication; dan Hamidah Kamaruddin
Dalam sesi dialog, Ketua Bahagian Pengeluaran dan Penyelarasan Penerbitan DBP, YBrs. Puan Sylee Riza binti Arif selaku moderator memaklumkan bahawa promosi dana kini lebih meluas melalui seminar dan sesi dalam talian untuk memudahcara proses penerbitan.
Sementara itu, tokoh kewartawan, YBhg. Datuk Dr. Chamil Wariya menyeru agar penerbit dan penulis memanfaatkan dana PIBN untuk menghasilkan karya berkualiti tinggi.
“Proses permohonan tidak terlalu ketat dan boleh diluluskan dalam masa kurang dua bulan jika manuskrip lengkap dan memenuhi spesifikasi. Walaupun tidak meliputi kos cetakan dan pemasaran, dana ini cukup membantu meringankan beban penerbit,” ujar beliau.

Tambah beliau, penerbit juga diberi kelonggaran untuk melantik panel penilai bagi menilai aspek bahasa dan kandungan, serta penerbit digalakkan untuk mengemukakan borang cadangan lengkap termasuk tajuk buku yang bersesuaian.
Yang turut hadir termasuklah Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai serta Ketua Editor Majalah yang menjalankan tugas Pengarah Penerbitan, YBrs. Dr. Rosmani Omar.
Sebagai rekod, dana PIBN yang disalurkan kepada DBP melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini diwujudkan bagi memperkukuh industri perbukuan tempatan.
Semua buku yang diterbitkan di bawah dana ini perlu bebas daripada unsur yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, keselamatan negara dan nilai moral masyarakat.
Dengan sokongan berterusan dari pelbagai pihak, dana PIBN diharap mampu melonjakkan lagi penerbitan karya asli berbahasa Melayu serta memperkukuh kedudukan buku sebagai medium pembangunan ilmu dan tamadun negara.