Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing yang kian mendapat sambutan telah membuka dimensi baharu dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai medium komunikasi sejagat.
Ketua Akademi DBP, YBrs. Puan Mariati Josepha Mustafa berkata pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan warga asing bukanlah perkara baharu, malah kegiatan tersebut semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saban tahun kita menganjurkan Kursus Bahasa Melayu untuk Penutur Asing yang diperkenalkan sejak tahun 2015. Sambutannya terus meningkat pada setiap tahun, bahkan turut menarik penyertaan pegawai kedutaan untuk mengikuti kursus ini bagi memudahkan urusan harian mereka di Malaysia,” katanya dalam program Daripada Annyeonghaseyo kepada Apa Khabar? bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 baru-baru ini.
Menurut beliau, Akademi DBP juga giat melaksanakan pelbagai kursus lain dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan untuk masyarakat umum termasuklah kursus Pembinaan Munsyi Dewan bagi melahirkan golongan pendidik dalam tiga kategori, iaitu bahasa, sastera dan tulisan Jawi.

Selain itu, beliau menolak tanggapan bahawa mempelajari bahasa Melayu tidak menjamin masa hadapan dan menganggapnya sebagai pandangan yang tersasar kerana bahasa Melayu kini tersenarai dalam 40 bahasa utama dunia, sekali gus membuktikan nilai komersial dan strategiknya pada peringkat antarabangsa.
Dalam usaha membawa bahasa Melayu ke persada dunia, beliau turut memaklumkan bahawa DBP menjalinkan kerjasama dengan 14 buah universiti dan kolej di China yang kini menawarkan pengajaran bahasa Melayu secara formal kepada para pelajarnya.
Mengulas kedudukan bahasa Melayu dalam negara, beliau menyifatkannya berada pada tahap sederhana dan belum mencapai tahap yang diharapkan akibat “rempuhan” bahasa asing yang semakin meresap dalam kehidupan harian masyarakat.
“DBP tidak menghalang penggunaan bahasa asing, malah kita meraikannya tetapi dalam konteks urusan rasmi sudah pasti bahasa Melayu mesti digunakan, bukannya bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin,” ujarnya.
Beliau menyeru para pempengaruh agar mengamalkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan santun dengan memperkaya penggunaannya melalui pembacaan bahan bermutu, tontonan filem berkualiti serta mengikuti penyampai yang baik bahasanya supaya menjadi teladan kepada generasi muda.
Sementara itu, program berkenaan turut menampilkan pempengaruh media sosial kelahiran Korea Selatan, Mariam Younarae yang turut berkongsi kisahnya mempelajari bahasa Melayu sejak berhijrah ke Malaysia selepas berkahwin dengan rakyat tempatan.
Kata Maryam, cabaran yang dihadapinya pada peringkat awal adalah beliau menyangka penguasaan bahasa Melayu dalam perbualan harian sudah memadai, namun menyedari bahawa penggunaannya dalam konteks formal memerlukan kosa kata yang berbeza.
Tambah beliau, pemerintah di Korea Selatan sentiasa mempertahankan dan melindungi bahasa ibunda mereka menerusi pelbagai kempen kesedaran kepada rakyatnya, hasil daripada pengalaman sejarah penjajahan yang cuba melenyapkan bahasa tersebut sebelum ini.
Beliau percaya bahawa usaha dan kesungguhan individu untuk terus belajar merupakan kunci utama dalam penguasaan sesuatu bahasa.

“Saya jumpa ramai orang Korea yang sudah tinggal di Malaysia selama 10 hingga 20 tahun tetapi masih tidak pandai berbahasa Melayu kerana mereka sudah terbiasa bertutur dalam bahasa Inggeris dengan orang lain.
“Bagi saya, walau siapa-siapa pun, tidak kira Cina atau India, asalkan dia orang Malaysia, saya tetap akan berbahasa Melayu. Itulah cara saya mengamalkannya setiap hari,” ujar Maryam.
Maryam juga mendedahkan bahawa pada awal perkenalannya dengan suami, mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana beliau belum fasih berbahasa Melayu.
Kini, beliau lebih selesa dan tampil yakin menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian berbanding dengan bahasa Inggeris.
Sebagai ibu kepada anak berdarah campuran Malaysia–Korea, Maryam mengambil pendekatan tersendiri dalam mendidik anaknya menjadi fasih dalam pelbagai bahasa.
“Apabila saya berdua dengan anak saya di rumah, kami bercakap dalam bahasa Korea, namun apabila berada dalam khalayak atau bersama-sama dengan orang lain, saya akan menggunakan bahasa Melayu,” katanya.
Maryam mengakui pada awalnya beliau bimbang anaknya keliru dengan pelbagai bahasa, namun beliau berpegang pada pendekatan bahawa setiap ayat yang lengkap dipertuturkan hanya menggunakan satu bahasa sahaja sebelum menggunakan bahasa yang lain agar pertuturannya tidak bercampur bahasa.
“Bahasa Melayu sangat mesra dan lembut, manakala bahasa Korea pula penuh dengan rasa hormat. Apabila kita belajar sesuatu bahasa, kita akan belajar nilai dan sikap penutur juga,” ujarnya.
“Saya bukan siapa-siapa, cuma boleh berbahasa Melayu tetapi rakyat Malaysia sayang saya. Siapakah yang sangka hanya dengan berbahasa Melayu, saya disayangi seperti ini,” luah beliau ketika berkongsi pengalaman hidupnya.
Yang turut hadir memeriahkan program tersebut termasuklah Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani bin Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, YBrs. Puan Noraini bintk Abd Shukor dan karyawan DBP.
