Diterbitkan pada 14 Jun 2025, 16:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Ketam Memasuki tahun ketiga penganjurannya, Perkampungan Bahasa Pulau Ketam 2025 menunjukkan perkembangan positif dalam penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan murid dan pelajar di Pulau Ketam.

Program yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 12 Jun hingga hari ini menyaksikan peningkatan keyakinan dan literasi bahasa Melayu dalam kalangan peserta dari pelbagai peringkat umur persekolahan bermula dari murid prasekolah, sekolah rendah hingga pelajar sekolah menengah.

Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Puan Isnazhana Ismail berkata, program ini bukan sahaja memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, malah turut menyemai minat dan kecintaan terhadap bahasa tersebut sejak dari peringkat prasekolah.

Timbalan Pengarah Sektor Bahasa dan Kesusasteraan, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBrs. Puan Isnazhana Ismail menekankan kepentingan mengadakan program sebegini bagi membina keyakinan murid untuk bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu.

“Penganjuran program ini amat signifikan untuk membina keyakinan murid untuk bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu terutamanya dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi harian,” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Perkampungan Bahasa Pulau Ketam 2025 yang diadakan di SJK (C) Hua Lien, Pulau Ketam.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara BPK KPM, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Pejabat Pendidikan Daerah Klang dan Majlis Bahasa Cina Malaysia.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai, yang turut menyatakan bahawa usaha berterusan ini mencerminkan kesungguhan semua pihak untuk melestarikan budaya membaca dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, khususnya pelajar dan penduduk setempat Pulau Ketam.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai menyatakan komitmen DBP dalam memperkukuh penguasaan bahasa Melayu melalui program yang memberikan penekanan kepada komunikasi dan penulisan dalam kalangan murid pelbagai kaum.

“DBP berperanan penting dan sentiasa bersedia dalam usaha memantapkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya pelajar sekolah dari pelbagai kaum.

“Hal ini amat penting kerana usaha menyemai dan membina keyakinan pelajar untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu serta membina bakat penulisan dalam bahasa perlu bermula dari bangku sekolah lagi.

“Pelbagai pertandingan yang diadakan sejak dua hari lalu yang melibatkan semua sekolah di Pulau Ketam, iaitu SJK(C) Hua Lien, SJK(C) Keng Chee, SJK(C) Sin Bin dan SMK Pulau Ketam bukan sahaja dilihat menekankan aspek penguasaan bahasa semata-mata, malah juga sarat dengan pemantapan dalam pembinaan keterampilan, sahsiah, akhlak terpuji dan semangat berpasukan,” katanya.

Lebih 300 murid prasekolah, sekolah rendah dan menengah mengambil bahagian dalam program ini, dengan bimbingan panel pengajar daripada kalangan guru dan pensyarah bahasa Melayu serta pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM.

Antara program yang diadakan termasuklah Aktiviti Literasi Bahasa, Aktiviti Pengukuhan Bahasa, Permainan Bahasa Digital: ChatGPT, Permainan Bahasa Digital: Quizizz, Permainan Bahasa Digital: Kuiz Tatabahasa, Program Mendapat dan Menyampaikan Maklumat, Eksplorasi Kecerdasan Buatan, Pertandingan Promosi Produk Pulau Ketam serta Pertandingan Karaoke Lagu dalam Bahasa Melayu.

Turut hadir dalam majlis penutupan ialah Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP, YBrs. Puan Aninah Janang; Guru Besar SJK (C) Hua Lien, YBrs. Encik Yong Kian Guan; Pengetua SMK Pulau Ketam, YBrs. Encik Mohd. Nizam Banaji serta wakil-wakil dari SJK (C) Keng Chee dan SJK (C) Sin Bin.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi