Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 20 Jun 2025, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu perlu terus giat dilakukan merentasi pelbagai benua di dunia agar bahasa berkenaan tidak hanya tertumpu di negara tertentu, lantas mampu “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah” dengan bahasa utama yang lain.

Hal ini demikian kerana inisiatif pengantarabangsaan bahasa Melayu di benua Eropah, Amerika dan Oceania masih berhadapan dengan pelbagai cabaran, berbeza dengan penerimaan yang lebih memberangsangkan di China menerusi pelbagai kegiatan kebahasaan.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Profesor Dr. Goh Sang Seong berkata, meskipun kajian tentang Malaysia dan Dunia Melayu masih mendapat perhatian di Eropah, hakikatnya aspek pengantarabangsaan bahasa Melayu dilihat mula merosot akibat sikap penutur asal sendiri yang tidak lagi menggunakan bahasa tersebut secara meluas, sekali gus mencetuskan persepsi bahawa bahasa itu tidak membawa sebarang manfaat yang signifikan dalam kajian akademik luar.

Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Profesor Dr. Goh Sang Seong ketika menyampaikan perkongsiannya.

Oleh itu, beliau menegaskan bahawa hanya bangsa yang yakin terhadap bahasanya dan menggunakannya dengan betul dalam kehidupan seharian akan menjadikan bahasa tersebut dihormati dan dipelajari oleh orang lain seperti bahasa negara jiran, Indonesia.

“Isunya bukanlah kerana orang luar tidak menghargai bahasa kita, tetapi sikap kita sendiri yang memandang rendah bahasa Melayu,” tegasnya dalam program Suara dari Anjung Dewan Bahasa: Bahasa Melayu Mendunia di Anjung DBP, semalam.

Selain itu, beliau mengingatkan bahawa rakyat Malaysia perlu bebas daripada belenggu penjajahan minda dan melakukan anjakan pemikiran sebagai pengguna bahasa melalui sikap yang positif terhadap bahasa kebangsaan, tanpa terlalu bergantung terhadap peranan pembuat dasar.

Tambahnya lagi, negara China kini sudah mempunyai 17 buah universiti dan kolej yang menawarkan pengajian bahasa Melayu.

“11 buah universiti menawarkan bahasa Melayu sebagai jurusan pada peringkat ijazah pertama (sarjana muda), manakala selebihnya bahasa tersebut ditawarkan sebagai kursus elektif, dengan sekurang-kurangnya 300 orang graduan yang dilahirkan mampu berbahasa Melayu,” katanya.

Menurut beliau, pengantarabangsaan bahasa Melayu di Negara Tembok Besar itu telah berjaya dari sudut politik kerana usaha tersebut diterima baik dengan pelbagai kegiatan, termasuk penganjuran Seminar Antarabangsa Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu–China Ke-5 serta kewujudan media massa arus perdana yang menerbitkan kandungan berita dalam bahasa Melayu.

Beliau berpandangan bahawa pendekatan pemartabatan bahasa Melayu perlu disemak semula kerana terlalu menumpukan aspek pengajaran dan pembelajaran, sedangkan elemen budaya wajar diutamakan kerana menjadi “gerbang” kepada pengenalan bahasa Melayu kepada pelajar asing.

Mengulas tentang pemartabatan bahasa Melayu pada peringkat ASEAN, beliau berkata setiap negara boleh menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing sebagai bahasa kerajaan dengan sokongan jurubahasa, seperti yang diamalkan oleh negara besar, kerana langkah tersebut secara tidak langsung akan mendorong negara lain mempelajari bahasa Melayu apabila berkomunikasi dengan Malaysia.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram berkata, pengalaman beliau di Hankuk University of Foreign Studies, Korea dan Universiti Goethe Frankfurt, Jerman memperlihatkan usaha pengantarabangsaan bahasa Melayu turut berhadapan dengan cabaran pada peringkat awal pelaksanaannya.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram dalam program Suara dari Anjung Dewan Bahasa: Bahasa Melayu Mendunia.

Ujar beliau, meskipun terdapat Pengajian Asia Tenggara di Universiti Goethe, hanya kursus bahasa Indonesia ditawarkan pada peringkat awal, manakala Hankuk University of Foreign Studies pula yang telah menubuhkan Jabatan Pengajian Melayu–Indonesia, bahasa Indonesia menjadi pilihan utama para pelajar asing walaupun kursus bahasa Melayu pernah diajar oleh pensyarah lain sebelum ini.

Bahasa Melayu mungkin sudah mendunia, tetapi banyak usaha yang perlu dilakukan terutama oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), universiti tempatan dan DBP untuk negara-negara lain.

Malah, beliau menegaskan bahawa setiap rakyat Malaysia perlu menguasai tiga cabang utama ilmu bahasa, iaitu ilmu linguistik, ilmu sosiolinguistik dan ilmu pragmatik (konteks penggunaan bahasa) yang menjadi asas perbezaan bahasa Melayu dengan bahasa lain.

Karisma melalui penampilan budaya dan kesusasteraan Melayu juga menjadi daya tarikan yang relevan kepada pelajar asing untuk mengenali bahasa Melayu dengan lebih mendalam.

Lantaran itu, beliau mengharapkan agar lebih banyak ahli akademik diberikan peluang untuk mengajar kursus bahasa Melayu di luar negara, di samping menyediakan ruang kepada para pelajar untuk tampil di pentas antarabangsa dengan mempromosikan karya kreatif kesusasteraan Melayu.

Menyentuh tentang isu bahasa yang berlaku dalam generasi muda, beliau menyatakan bahawa kegagalan memperkukuh kesedaran mereka terhadap prestij bahasa Melayu menyebabkan bahasa tersebut terus dianggap sebagai bahasa kolokial biasa, sedangkan semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi membuktikan bahawa bahasa Melayu secara praktikal mampu berkembang lebih jauh.

Sebagai rekod, program diskusi Suara dari Anjung Dewan Bahasa: Bahasa Melayu Mendunia ini merupakan satu daripada pengisian bersempena dengan ulang tahun DBP ke-69.

Penyampai Berita Radio Televisyen Malaysia, Encik Ismail Adnan (kanan) selaku moderator bersama-sama dengan ahli panel yang berpengalaman luas dalam kegiatan pengantarabangsaan bahasa Melayu, iaitu Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Profesor Dr. Goh Sang Seong (kiri) dan Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, YBrs. Profesor Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram (tengah).

Yang turut hadir dalam program tersebut termasuklah Sasterawan Sarawak ke-6, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Ketua-ketua Bahagian DBP, Ketua-ketua Editor DBP, karyawan DBP, pensyarah serta para pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik, Nilai.

Para pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Teknik, Nilai yang turut hadir memeriahkan program Suara dari Anjung Dewan Bahasa: Bahasa Melayu Mendunia.
Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi