Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 27 Jun 2025, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja terus melaksanakan inisiatif meningkatkan kemahiran penulisan cerita kanak-kanak yang bersifat imaginatif dan mendidik kepada para penulis dalam Program Kreatif Penghasilan Buku Bergambar Kanak-kanak yang berlangsung di Sudut Penulis, DBP Cawangan Sabah semalam.

Program yang berbentuk bengkel intensif selama satu hari itu melibatkan 26 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk penulis baharu, pelajar institusi pengajian tinggi dan pelukis tempatan yang berminat dalam penerbitan buku kanak-kanak.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada pelbagai aspek penting dalam penghasilan buku bergambar, termasuk konsep dan format standard buku bergambar, penulisan cerita merangkumi aspek idea, gaya bahasa, perancangan teks serta kesesuaian dengan pembaca sasaran.

Selain itu, mereka turut didedahkan kepada proses ilustrasi dan bimbingan praktikal secara langsung melalui latihan dalam kumpulan sebagai latihan kepada peserta untuk mencipta karya imaginatif, menarik dan mendidik dengan gabungan visual dan naratif yang berkesan.

Seorang daripada peserta dalam Program Kreatif Penghasilan Buku Bergambar Kanak-kanak ketika menyampaikan pembentangannya dalam sesi latihan dalam kumpulan.
Para peserta sedang berbincang untuk menghasilkan papan cerita dalam sesi latihan dalam kumpulan.

Bengkel ini turut menampilkan pembimbing yang berpengalaman dalam penulisan buku kanak-kanak, iaitu Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Puan Hajah Noriyani Yusoff dan pelukis terkenal, YBrs. Encik Jainal Amambing.

Encik Jainal Amambing ketika memberikan bimbingan kepada para peserta semasa sesi latihan dalam kumpulan.
Ketua Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, YBrs. Puan Hajah Noriyani Yusoff ketika menyampaikan perkongsiannya.

Selain itu, bengkel ini turut membantu memberi panduan kepada peserta dalam menghasilkan ilustrasi dan teks cerita yang sesuai dengan piawaian penerbitan buku bergambar kanak-kanak DBP.

Dalam pada itu, wartawan JendelaDBP berkesempatan menemui seorang peserta program tersebut, Habibah Nur Insyirah Sazahlie, pelajar Sarjana Sastera dari Universiti Malaysia Sabah yang menganggap program tersebut sangat bermanfaat dalam memperluas ilmu dan kemahiran berkarya dalam genre buku kanak-kanak.

Menurut beliau, bengkel ini turut menjadi platform yang lebih maju dan berpotensi untuk menembusi dunia penerbitan profesional.

“Memandangkan saya juga pernah mempelajari grafik digital, saya berpendapat bahawa aspek seperti papan cerita (storyboard) dan reka letak teks cerita perlulah tepat dan seimbang.

“Apabila kita melukis atau mencipta watak, kita sebenarnya cuba menterjemahkan imaginasi penulis kerana imaginasi mereka kadangkala tidak sama dengan imaginasi pembaca,” katanya.

“Jadi, sebagai pereka ilustrasi, kita perlu benar-benar memahami kehendak dan visi penulis agar penyampaian cerita lebih selaras,” ujarnya lagi.

Peserta program, Habibah Nur Insyirah Sazahlie (tudung biru) ketika mendengar perkongsian dalam Program Kreatif Penghasilan Buku Bergambar Kanak-kanak.

Sebagai rekod, penganjuran bengkel tersebut merupakan satu daripada pengisian yang dilaksanakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-69 pada tahun ini di Sabah selaku tuan rumah.

Kredit Foto: Hafizee Affiq (DBP Sabah)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi