Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kota Kinabalu — Kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini menjadi medan untuk meneguhkan komitmen institusi keramat itu dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.
Bertemakan “Obor Semangat nan Abadi”, sambutan kali ini mengangkat simbol obor yang terus menyala dari generasi ke generasi, sekali gus menjadi lambang semangat perjuangan yang tidak pernah padam mahupun luntur dalam memartabatkan bahasa kebangsaan.
Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima Dr. Musa Haji Aman diiringi oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek.

Bersempena dengan ulang tahun kali ini, dua judul buku terbitan istimewa Biografi Tokoh DBP dilancarkan, iaitu Biografi Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka 1956-2025 dan Biografi Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menghimpunkan profil Pengerusi Lembaga Pengelola dan Ketua Pengarah DBP sejak penubuhannya pada 1956 hingga kini.


Turut dirasmikan ialah Kajian Indeks Bahasa Kebangsaan sebagai rujukan penting dalam penilaian dasar, perancangan dan pelaksanaan program penggalakan penggunaan bahasa kebangsaan secara bersasar.
Majlis turut diserikan dengan persembahan seni oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan yang melagukan syair dan mendeklamasikan puisi bertajuk “Bahasa Setinggi Kurnia”, yang mengangkat citra bahasa sebagai warisan berharga.

Ruang pameran turut dibuka kepada umum yang menampilkan pelbagai informasi berkaitan dengan fungsi DBP oleh jabatan dalam DBP seperti Jabatan Penerbitan, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Akademi DBP serta Unit Pemasaran dan Pengedaran DBP Cawangan Sabah yang membuat jualan bahan terbitan DBP. Beberapa agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan turut terlibat dalam pameran sempena majlis tersebut.


Turut hadir memeriahkan acara ialah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya yang mewakili Ketua Menteri Sabah; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif (JP); Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, YB Brigadier Jeneral Datuk Haji Al Hambra Tun Juhar; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku Pengerusi Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP Peringkat Kebangsaan 2025 serta Puan Jennitah Noordin, Pengarah DBP Cawangan Sabah.
Majlis ini meneguhkan fungsi DBP dalam memperkasakan usaha membina, memodenkan dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan budaya tinggi dan persuratan bangsa yang berwibawa, setanding dengan bahasa utama dunia yang lain.