Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terus memperkukuh komitmennya dalam usaha memelihara dan melestarikan bahasa sukuan, selaras dengan matlamat memperkasakan bahasa sebagai nadi dan identiti masyarakat tempatan serta warisan budaya bangsa.
Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek dalam ucapannya bersempena dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini berkata, kelangsungan bahasa sukuan di Sabah amat bergantung pada generasi muda sebagai pewaris masa hadapan.
“Kelangsungan hidup bahasa sukuan di Sabah seperti bahasa Bajau, Kadazan, Iranun, Rungus, Lotud, Kimaragang, Gana, Lundayeh, Kwijau, Serudung, Tagal, Tombonuo dan bahasa sukuan lain amat bergantung pada generasi muda sebagai generasi penerus,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap hakikat bahawa sebahagian besar generasi muda kini tidak lagi menguasai bahasa suku kaum masing-masing. Situasi ini menurutnya wajar mendapat perhatian semua pihak kerana melibatkan pemuliharaan akar budaya dan sejarah bangsa.
“Menyedari akan realiti tersebut, DBP telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara bahasa sukuan di Sabah, termasuklah pengumpulan kosa kata, penyelidikan sastera rakyat serta kajian adat resam dan pantang larang,” ujar beliau.
Antara usaha signifikan yang dijalankan termasuklah projek berimpak tinggi Pangkalan Data Bahasa-bahasa Sukuan Sabah serta pembangunan perkamusan dan glosari bahasa sukuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah melalui peruntukan Inisiatif Belanjawan 2025 di bawah Ikhtiar 57 Bahasa dan Karya Kreatif seperti yang diumumkan Perdana Menteri dalam Ucapan Belanjawan 2025.
“Melalui inisiatif tersebut, sebanyak 60 bahasa sukuan akan dikaji dan didokumenkan, termasuklah Kadazan, Bundu, Iranun, Lotud, Paluan, Dumpas, Tidung, Bisaya, Kedayan dan Bajau,” tambah beliau.
Sebagai rekod, setakat ini, dua kamus bahasa sukuan telah diterbitkan, iaitu Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun–Bahasa Melayu Tahap II dan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan.
Selain itu, dua lagi kamus, iaitu Kamus Lundayeh–Melayu Dewan dan Kamus Dumpas–Melayu Dewan sedang dalam proses pembinaan.
DBP juga menubuhkan Jawatankuasa Pelestarian Bahasa Sukuan yang berperanan menjadikan bahasa sukuan sebagai sumber pengayaan kosa kata bahasa kebangsaan, selain memelihara dan memulihara bahasa tersebut agar tidak pupus ditelan oleh zaman.
Sebagai tambahan, DBP kini berada pada peringkat akhir penerbitan Panduan Umum Penyusunan Kamus Bahasa Sukuan sebagai rujukan standard yang mematuhi piawai penyusunan kamus antarabangsa bagi kegunaan penyelidik dan penyusun kamus bahasa sukuan di seluruh negara.