Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTuaran – Bengkel Kreatif dan Kritis Bidang Bahasa yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membuka ruang kepada para pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent untuk menghayati proses penerbitan dan menggali potensi diri dalam penghasilan karya ilmiah dan kreatif.
Antara perkongsian utama dalam bengkel tersebut yang disampaikan oleh Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Noraini Abd. Shukor termasuklah kejayaan penulis menghasilkan 22 judul buku Siri Cakaplah Sayang dalam tempoh yang singkat.
Koleksi buku tersebut diterbitkan khusus untuk keperluan pengajaran dan pembelajaran murid berkeperluan khas dan dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YBrs. Tuan Wong Kah Woh dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Perkongsian ini memberikan inspirasi kepada peserta bengkel, bukan sahaja dari segi kecekapan menghasilkan karya bermutu, malah dalam memahami impak sesebuah penerbitan terhadap kumpulan sasaran seperti murid pelat dan berkeperluan khas.

Usaha membina budaya penulisan dalam kalangan pensyarah turut diperkukuhkan dengan pembentangan oleh Ketua Jabatan Pengajian Melayu dan Bahasa, YBrs. Dr. Caroline Lorena David yang berkongsikan pencapaian IPG Kent yang menerbitkan modul dan buku sokongan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa Kadazan Dusun.
Langkah ini memberikan dimensi baharu terhadap kepentingan penghasilan bahan pendidikan dalam bahasa peribumi, sekali gus menyokong usaha pemuliharaan bahasa ibunda dalam kalangan komuniti setempat, khususnya di Sabah.
Sementara, pensyarah muzik dari Jabatan Pengajian Sains Sosial, Puan Diane Chrisie-Beth Lai tampil berkongsi usaha beliau menyusun Glosari Muzik Inggeris–Melayu sebagai rujukan khusus untuk pensyarah dan guru pelatih dalam memperkukuh pemahaman istilah muzik semasa.
Pengumpulan istilah ini penting memandangkan perkembangan bidang muzik yang pesat sering memperkenalkan istilah baharu yang perlu diberikan padanan yang tepat dalam bahasa Melayu bagi memastikan pengajaran mudah difahami.
Inisiatif glosari tersebut turut membuka ruang kerjasama dengan Jawatankuasa Penggubalan Istilah DBP untuk menilai dan mengangkat istilah berkenaan sebagai istilah rasmi dalam bidang muzik tanah air.
Bengkel sehari yang berlangsung di Bilik Tutorial 1, IPG Kampus Kent telah menghimpunkan seramai 28 peserta dari pelbagai bidang pengajian yang menunjukkan komitmen yang tinggi untuk memahami selok-belok dunia penerbitan.
Sepanjang sesi ini, peserta dibimbing untuk mengenal pasti jenis buku yang boleh dihasilkan, termasuklah buku umum, bahan bergambar, buku berilustrasi serta buku panduan bahasa untuk guru dan pelajar.

Dalam bengkel ini juga, Editor Kanan Bahagian Buku Bahasa DBP, Puan Normala Mohamad Yusof memberikan panduan penyediaan manuskrip lengkap agar setiap karya yang ditulis memenuhi kriteria penerbitan DBP dan berpeluang diterbitkan.
