Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) sedang merangka beberapa acara penting sempena program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) peringkat negeri Kelantan dan Terengganu bermula pada bulan Ogos nanti.
Timbalan Pengarah (Penerbitan) Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Puan Nur Anis Salwani Awang Mohammad berkata, acara penting itu termasuklah syarahan memartabatkan bahasa Melayu, wacana pemerkasaan bahasa dan diskusi berkaitan isu-isu bahasa.
“Itu antara rancangan penting yang bakal dilaksanakan pada program itu nanti sebagai wadah pemikiran, pemahaman serta penghayatan dalam usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap bahasa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Pengarah DBPWT pada majlis pelancaran enam buah buku baharu terbitan Kelab Kembara Sastera Kelantan bertempat di Hotel Jewel petang semalam.
Enam buku yang dilancarkan pada majlis tersebut termasuklah Panduan Haiku, Antologi Keindahan Masjid Iktikaf 1 dan 2, Antologi Sayembara Pantun Kembara Sastera Warisan Budaya, Antologi Cerpen Kembara Sastera Edisi ke-4, dan Antologi Anekdot.
Nur Anis Salwani berkata, segala bentuk rancangan berkaitan program DMK dan DBK terlebih dahulu akan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif dan memberi manfaat kepada masyarakat umum.
Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata bahawa kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sesungguhnya menjadi tanggungjawab semua pihak, oleh itu, usaha ke arah melestarikan bahasa berdaulat itu harus dipergiatkan dari semasa ke semasa.
“Kita tidak harus melihat perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan ini hanya terletak pada bahu DBP semata-mata, tetapi menjadi tanggungjawab semua pihak, segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar berganding bahu bagi sama-sama menggalas tanggungjawab demi kedaulatan bahasa Melayu kekal terjamin di tanah air.
Program DBK dan DMK merupakan gerakan DBP untuk menyedarkan masyarakat akan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seperti termaktub dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
DBP melancarkan program tersebut untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa pilihan utama di rantau ASEAN dan di persada dunia.