Diterbitkan pada 17 Julai 2025, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tawau–Sebanyak 25 orang pelajar dari lima buah sekolah menengah di Tawau telah menyertai aktiviti Majalah Dalam Kelas (MDK) semalam. Aktiviti yang dikendalikan oleh YBrs. Encik Zaidi Ismail, iaitu Timbalan Pengarah II, DBP Cawangan Sabah ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Pendekatan pada kali ini berbeza daripada sebelumnya, iaitu lebih tertumpu kepada pelajar sekolah menengah berbanding murid sekolah rendah dengan memberi pendedahan dalam bidang penulisan seperti berita, cerpen, ulasan buku dan puisi.

Pembimbing aktiviti Majalah Dalam Kelas, iaitu YBrs. Encik Zaidi Ismail.

YBrs. Encik Zaidi Ismail berkongsi teknik asas yang boleh membantu pelajar menghasilkan karya bermakna, selain menekankan kepentingan penggunaan tatabahasa yang betul dalam penulisan. Kuiz bahasa juga diadakan semasa sesi tersebut untuk menguji tahap penguasaan bahasa peserta.

Antara mesej Encik Zaidi Ismail yang memberikan kesan kepada peserta ialah;

Jangan mulakan dengan hal yang besar, mulakan dengan yang kecil.

Panduan ini merujuk kepada kepentingan membina keyakinan diri penulis untuk menulis melalui langkah-langkah kecil terlebih dahulu, seperti menghasilkan berita pendek atau cerpen ringkas, sebelum melangkah kepada karya yang lebih kompleks.

YBrs. Encik Zaidi Ismail menyantuni peserta MDK melalui aktiviti Kuiz Bahasa.

Sesi yang berlangsung dalam suasana santai namun bermakna itu turut membuka ruang kepada pelajar untuk bertanya soalan dan berkongsi minat dalam dunia penulisan. Guru-guru pengiring pula menyifatkan program ini sebagai satu usaha murni DBP untuk melahirkan lebih banyak pengkarya muda yang berilmu dan kreatif.

Program ini bukan sahaja memberikan pendedahan awal kepada para pelajar dunia penulisan kreatif dan ilmiah, malah turut membina semangat pelajar untuk mencuba dan menghasilkan karya sendiri dengan menggunakan bahasa kebangsaan secara berkesan dan bermakna.

Sekolah yang terlibat pada kali ini ialah SM Konven St. Ursula, SMK Tawau, SMK Titingan, SM St. Patrick, dan SMK Jambatan Putih serta diiringi oleh lima orang guru pengiring yang diadakan di SJK (C) Yuk Chin, Tawau.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi