Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLahad Datu − Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah mengadakan kunjungan hormat dan sesi taklimat berkenaan dengan Projek Pendokumentasian Kosa Kata Bahasa Sukuan Sabah kepada tiga persatuan etnik di daerah Lahad Datu yang merupakan sebahagian daripada usaha strategik DBP dalam pelestarian bahasa sukuan melalui kerjasama komuniti akar umbi.
Kunjungan hormat yang diadakan ini telah diketuai oleh Timbalan Pengarah I DBP Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli dan disertai oleh Perancang Bahasa, DBP Cawangan Sabah, Puan Azrin binti Eddy. Objektif utama kunjungan ini adalah untuk memperluas jaringan kolaboratif antara DBP dengan komuniti etnik yang belum pernah terlibat dalam projek pendokumentasian bahasa oleh DBP.

Tiga persatuan etnik yang terlibat dalam kunjungan hormat ini ialah Persatuan Bajau Balangingi Tungku Lahad Datu, yang diwakili oleh Pengerusinya, Encik Jaidi bin Hamid, di Kampung Telisai, Tungku; Persatuan Dusun Subpan Segama Lahad Datu, di bawah pimpinan Encik Baginda Sunoi bin Rumokai, bertempat di Balai Adat Kampung Upak, Segama, Lahad Datu; dan Persatuan Kebajikan Begak Islam Sabah yang diketuai oleh Encik Mohd Sakhir bin Lepas, di Hotel De Leon, Lahad Datu.
Ketiga-tiga persatuan ini memberikan komitmen yang positif terhadap pelaksanaan projek, sekali gus menandakan satu langkah penting dalam memupuk kerjasama rentas institusi demi melestarikan warisan linguistik Sabah.

Sebagai rekod, DBP Cawangan Sabah telah menjalankan pelbagai inisiatif pendokumentasian sejak tahun 1980-an, termasuk pembangunan Pangkalan Data Bahasa-bahasa Sukuan Sabah, glosari, istilah budaya tempatan serta penerbitan kamus bergambar dan dwibahasa.
Setakat ini, DBP Cawangan Sabah telah menerbitkan Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun–Bahasa Melayu (Edisi Murid Tahap I) dan Kamus Murut Tahol–Melayu Dewan. Kini, DBP dengan kerjasama pelbagai persatuan etnik di Sabah sedang dalam proses penyusunan Kamus Lundayeh–Melayu Dewan, Kamus Dumpas–Melayu Dewan dan Kamus Tidung–Melayu Dewan.
Pada tahun 2025, DBP Cawangan Sabah mempergiat usaha pendokumentasian bahasa sukuan melalui Projek Pendokumentasian Kosa Kata Bahasa Sukuan Sabah yang meliputi rakaman kosa kata daripada 60 bahasa etnik di negeri ini.
Sebagai fasa awal, data daripada 25 bahasa akan dikumpulkan. Projek ini menggunakan senarai kata Swadesh (207 kata), iaitu satu daripada instrumen linguistik yang lazim digunakan pada peringkat antarabangsa dalam kajian sejarah dan perbandingan bahasa.