Diterbitkan pada 20 Julai 2025, 11:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Seri Putra dinobatkan sebagai johan Pertandingan Forum Remaja MADANI 2025 Peringkat Negeri Selangor di Bilik Puri Pujangga, SMK Lembah Subang.

Johan pertandingan tersebut terdiri daripada lima orang pelajar berbakat, iaitu Syakira Ruzeezal, Engku Nurfarah Hidayah, Nur Farhanah, Almas Yasmin dan Nur Aleesya Uzma berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000.00 dan sekali gus meletakkan nama mereka sebagai wakil negeri Selangor dalam pertandingan peringkat kebangsaan kelak.

Pertandingan forum yang merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Tengah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) ini bermatlamat untuk mencungkil dan menggilap bakat pengucapan awam yang dimiliki oleh pelajar sekolah menengah di negeri Selangor.

Barisan juri Pertandingan Forum Remaja MADANI 2025 Peringkat Negeri Selangor.

Sementara itu, naib johan bagi pertandingan tersebut diungguli oleh SMK Seksyen 18, Shah Alam dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700.00, manakala SMK Abdul Jalil, Hulu Langat mendapat tempat ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500.00.

Peserta Pertandingan Forum Remaja MADANI 2025 Peringkat Negeri Selangor merakam gambar kenang-kenangan bersama-sama juri dan tetamu kehormat.

Pemenang bagi kategori Pengerusi Forum Terbaik ialah Syakira Ruzeezal dari SMK Bandar Seri Putra manakala pemenang bagi kategori Ahli Forum Terbaik berjaya dirangkul oleh Engku Nurfarah Hidayah dari sekolah yang sama, manakala Anugerah Montaj Terbaik pula dimenangi oleh SMK Seksyen 18, Shah Alam.

Terdahulu, sebanyak lima pasukan forum yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan ini bagi menyampaikan hujah mereka secara kritis dan kreatif, iaitu SMK Bandar Seri Putra, SMK (P) Methodist Klang, SMK Seksyen 18, SMK Bandar Baru Sungai Long dan SMK Abdul Jalil.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian penutup bagi pertandingan tersebut termasuklah Pengetua SMK Lembah Subang, YBrs. Dr. Bustang bin Baco; Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sekolah Jenis Khas, Puan Masita binti Leman dan Pegawai Kanan DBP Wilayah Tengah, Puan Musazliza binti Mustan Shir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi