Diterbitkan pada 6 Ogos 2025, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor-Tautan kerjasama kebahasaan terus terjalin antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor melalui kunjungan hormat oleh DBP kepada Setiausaha Kerajaan Johor pada hari ini. DBP menghamparkan cadangan berkaitan Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2025 yang dijadualkan akan diadakan pada bulan Oktober 2025.

DBP memaklumkan bahawa negeri Johor menjadi cadangan lokasi kemuncak program tersebut pada tahun ini yang dijadualkan pada bulan Oktober 2025. Perkara ini mendapat perhatian penuh oleh Setiausaha Kerajaan Johor, iaitu YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman yang menyatakan iltizam pihaknya untuk turut sama menggembleng usaha bagi memartabatkan bahasa kebangsaan serta menyokong usaha penyebaran bahasa dan sastera yang memberi dampak secara berterusan kepada masyarakat.

Selain itu, DBP turut mengemukakan cadangan berkaitan penubuhan Jawatankuasa Pelaksana Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Johor yang bakal berfungsi menasihati dalam hal-hal berkaitan bahasa Melayu untuk sektor-sektor tertentu seperti perkhidmatan awam, media, tempat awam, pendidikan, perdagangan, dan kewangan.

Kunjungan hormat DBP diketuai oleh Tuan Haji Md. Johari Hassan, iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP yang turut disertai oleh YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin, iaitu Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, iaitu YBrs. Puan Roziah Md Yunus serta pegawai kanan DBP.

DBP terus-menerus menjalinkan usaha dengan pelbagai pihak dalam usaha untuk meluaskan cakupan kerjasama dan peningkatan khalayak bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hassan (tengah), iaitu Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP , YBrs. Dr. Syaidul Azam Kamarudin, iaitu Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, iaitu YBrs. Puan Roziah Md Yunus serta pegawai kanan DBP bergambar kenangan bersama-sama dengan Setiausaha Kerajaan Johor, iaitu YB Dato’ Asman Shah Abd Rahman.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi