Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor telah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan (JKPBK) Peringkat Negeri Selangor dengan jayanya di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, semalam.
Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin secara umumnya bersetuju dengan matlamat Dasar Bahasa Kebangsaan dan pelaksanaan kegiatan kebahasaan dengan usaha sama setiap jabatan dan agensi di negeri Selangor.

Dalam mesyuarat ini juga, beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) memaklumkan bahawa program yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan dilaksanakan secara berterusan dan selari dengan fungsi Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan.
YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli berharap agar setiap program yang dilaksanakan akan menjadi pemangkin dalam mengangkat bahasa Melayu ke persada antarabangsa.
Pengurusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diwakili oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Puan Fauzilahyatun binti Mustafa menyambut baik usaha serta perancangan program berkaitan dengan bahasa kebangsaan yang akan dilaksanakan di negeri Selangor.
Taklimat JKPBK yang dibentangkan oleh Perancang Bahasa, Bahagian Penguatkuasaan DBP, Encik Hasanul Isyraf bin Mohammad turut disertai oleh pegawai daripada Bahagian Penguatkuasaan DBP yang lain termasuklah Puan Rohayu binti Ismail @ Hassan, Encik Sharizul Razli bin Seth dan Puan Nur Aimi Nadjwa binti Jalani.